Sudah hampir enam dekad berdiri teguh, Tadika Raihan bukan sekadar sebuah institusi pendidikan awal kanak-kanak, tetapi lambang perjuangan seorang wanita memastikan generasi kecil terus mendapat asas pendidikan terbaik sejak usia awal.
Di sebalik perjalanan panjang itu berdirinya sosok wanita bernama Zuhairah Ali yang sanggup memikul amanah besar demi meneruskan legasi Allahyarhamah ibunya, Datuk Dr. Nooraihan Datuk Amar Sallehuddin.
Tadika yang diasaskan pada tahun 1967 itu bukan sahaja merupakan tadika Melayu pertama, malah salah satu tadika tertua di Malaysia yang mencipta sejarah tersendiri dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak negara.
Bagi Zuhairah yang kini merupakan Pakar Perkembangan Awal Kanak-kanak dan Literasi, dan Pengarah Tadika Raihan, bidang pendidikan bukan sekadar kerjaya, tetapi satu perjuangan yang sudah sebati dalam hidupnya sejak kecil.
“Ini bukan sekadar kerja, tetapi amanah yang perlu dijaga sebaiknya,” katanya kepada Muslimah.
Sejak kecil, beliau membesar dengan melihat sendiri ibunya mencurahkan sepenuh jiwa dalam mendidik kanak-kanak sehingga membentuk kecintaannya terhadap dunia pendidikan hari ini.
Nama ‘Raihan’ yang membawa maksud bunga kecil di syurga turut membawa simbolik tersendiri terhadap keindahan dan kesucian ilmu yang diterapkan sejak awal penubuhan tadika tersebut.
Hubungan Zuhariah dan ibu juga seperti sahabat baik menjadi antara faktor yang membentuk kekuatan serta minatnya dalam bidang pendidikan.
Namun, pemergian insan tersayang itu menjadi antara detik paling mencabar dalam hidupnya.
Dalam kesedihan yang dirasai, hadir satu tanggungjawab besar untuk memastikan legasi pendidikan yang dibina sejak puluhan tahun terus hidup dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, keputusan meneruskan perjuangan tersebut bukan semata-mata kerana warisan keluarga, tetapi sebagai satu bentuk amanah dan amal jariah yang manfaatnya dapat dirasai generasi demi generasi.
Tembusi dunia pendidikan global
Tadika Raihan bukan sekadar tadika biasa. Segalanya bermula apabila Allahyarhamah Datuk Dr. Nooraihan berjaya mencipta kaedah ‘Terus Membacha’ sekitar tahun 1960-an.
Kaedah itu terbukti berkesan apabila kanak-kanak seawal usia dua tahun mampu membaca dengan lancar. Lebih membanggakan, pendekatan tersebut turut digunakan di Filipina termasuk dalam program literasi dewasa di Mindanao.
Pengiktirafan daripada UNESCO membuktikan keberkesanan kaedah tersebut sehingga ia disesuaikan dalam pelbagai bahasa seperti Tagalog, Indonesia dan Bangladesh.
Bagi memastikan kaedah itu terus relevan dengan generasi hari ini, Zuhairah melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk penggunaan kod QR bersama audio dalam bahan pembelajaran.
“Kaedah ini perlu sentiasa berkembang supaya sesuai dengan generasi hari ini tanpa menghilangkan asasnya,” katanya yang juga aktif sebagai aktivis pendidikan.
Langkah itu dilihat mampu membantu proses pembelajaran menjadi lebih interaktif dan berkesan selari dengan perkembangan teknologi semasa.

Pendidikan bukan medan keuntungan
Kesungguhan Zuhairah dalam dunia pendidikan jelas terpancar melalui prinsip yang masih dipegang teguh sehingga hari ini iaitu pendidikan bukan untuk keuntungan semata-mata.
Prinsip itu diwarisi daripada ibunya dan terus menjadi pegangan utama dalam menguruskan Tadika Raihan.
Yuran tadika tersebut dikekalkan di bawah RM1,000 sebulan bagi sesi pembelajaran sehari penuh sekali gus jauh lebih rendah berbanding kebanyakan tadika swasta lain.
Malah, Zuhairah juga memilih untuk tidak mengambil gaji demi memastikan kewangan tadika dapat digunakan sepenuhnya untuk kos operasi serta kebajikan tenaga pengajar.
Menurutnya, usaha itu merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial untuk membantu keluarga kurang berkemampuan, khususnya dalam kalangan masyarakat Muslim.
“Saya percaya ilmu itu hak semua anak, bukan hanya untuk mereka yang mampu,” katanya.

Terus belajar demi generasi baharu
Selain meneruskan legasi keluarga, Zuhairah turut mencipta pencapaian tersendiri apabila memenangi pingat gangsa bagi kategori Creative Thinking Skills di World Mind Olympics UK.
Beliau juga merupakan penerima anugerah “Reading Culture Champion” dalam WoW KL Awards 2025 serta dikenali sebagai penulis dan penglipur lara cerita kanak-kanak tempatan.
Beliau turut aktif dalam organisasi berkaitan pendidikan dan pernah memegang jawatan presiden beberapa kali sebelum kini memilih untuk menjadi penasihat bagi memberi ruang kepada generasi baharu.
Bagi figura ini, memastikan sesebuah institusi pendidikan terus bertahan bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan komitmen tinggi, minat mendalam dan sokongan daripada keluarga serta orang sekeliling.
Beliau percaya sikap sentiasa terbuka untuk belajar dan menyesuaikan diri dengan perubahan menjadi kunci utama untuk terus relevan dalam dunia pendidikan yang sentiasa berkembang.
“Dalam pendidikan, kita tidak boleh berhenti belajar kerana setiap generasi ada keperluan yang berbeza,” katanya.
Bagi Zuhairah, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang akan membentuk masa depan negara kerana kanak-kanak adalah aset paling berharga buat masyarakat.
“Setiap anak yang kita didik hari ini akan menentukan corak masyarakat pada masa depan,” katanya.-Muslimah