Setiap pagi adalah lembaran baharu.
Bagi Muslimah, hari bukan sekadar bermula dengan rutin tetapi dengan doa dan pengharapan kepada Allah.
Dalam kesibukan mengurus keluarga, kerjaya dan tanggungjawab harian, doa menjadi sumber kekuatan.
Luangkan hanya beberapa minit bersama Allah di awal pagi mampu mengubah keseluruhan emosi dan perjalanan hari kita.
Berikut adalah 5 doa yang boleh diamalkan setiap pagi, beserta kelebihannya:
1. Doa bangun tidur
اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Alhamdulillahilladzi ahyaanaa ba’da maa amaatanaa wa ilaihin nusyuur
Maksud:
“Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami (tidur), dan kepada-Nya kami dibangkitkan pada hari Kiamat.”
Kelebihan:
Doa ini menanam rasa syukur sejak detik pertama membuka mata. Apabila hari dimulakan dengan syukur, hati lebih tenang dan fikiran lebih positif.
2. Doa memohon kebaikan hari ini
اللّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ هٰذَا الْيَوْمِ، فَتْحَهُ وَنَصْرَهُ وَنُورَهُ وَبَرَكَتَهُ وَهُدَاهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيهِ وَشَرِّ مَا بَعْدَهُ
Allahumma inni as’aluka khaira hadzal yaum, fathahu, wa nashrahu, wa nurahu, wa barakatahu, wa hudahu. Wa a’udzubika min sharri ma fihi wa sharri ma ba’dahu
Maksud:
“Ya Allah, aku memohon kebaikan hari ini; kemenangan, cahaya, keberkatan dan petunjuknya. Dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang ada padanya dan keburukan selepasnya.”
Kelebihan:
Kita mungkin tidak tahu apa yang bakal berlaku, tetapi doa ini menjadi benteng perlindungan dan membuka pintu keberkatan sepanjang hari.
3. Doa dipermudahkan urusan
Doa Nabi Musa AS dalam Surah Surah Taha ayat 25–28:
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
Rabbisyrahli sadri, wa yassir li amri, wahlul ‘uqdatam min lisani, yafqahu qawli
Maksud:
“Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, dan lepaskan kekakuan dari lidahku agar mereka memahami perkataanku.”
Kelebihan:
Sangat sesuai untuk wanita bekerjaya, ibu yang mengurus rumah, atau sesiapa yang berdepan tekanan. Apabila dada lapang, masalah terasa lebih ringan.
4. Doa ketetapan hati
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Ya muqallibal quluubi tsabbit qolbii alaa diinika
Maksud:
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
Kelebihan:
Hati manusia mudah berubah. Doa ini membantu memohon agar iman kekal teguh walaupun diuji dengan kesibukan dunia dan cabaran emosi.
5. Doa memohon ilmu dan rezeki berkat
اللّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا
Allahumma innii as’aluka ‘ilman naafi’aa, wa rizqan tayyibaa, wa ‘amalan mutaqabbalaa
Maksud:
“Ya Allah, kurniakan aku ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Kelebihan:
Doa ini membentuk fokus hidup seorang muslimah bukan sekadar mengejar dunia, tetapi mencari reda Allah dalam setiap usaha.
Kekuatan sebenar Muslimah
Hakikatnya, doa-doa ini tidak mengambil masa yang lama. Namun kesannya besar yang membentuk cara kita melihat hari, menghadapi cabaran dan melayani keluarga dengan lebih sabar.
Seorang Muslimah mungkin kelihatan biasa pada pandangan manusia tetapi apabila paginya dimulakan dengan doa, langkahnya dipandu langit.
Mulakan hari ini dengan lima doa ini.-Muslimah