Mandi wajib merupakan antara ilmu asas yang perlu difahami oleh setiap Muslimah kerana berkait rapat dengan kesucian diri dan kesahihan ibadah harian.
Namun, masih ada wanita yang keliru tentang keadaan yang mewajibkan mandi hadas besar, terutama apabila melibatkan haid, nifas dan kelahiran anak.
Secara asasnya, mandi wajib dilakukan dengan niat mengangkat hadas besar serta meratakan air ke seluruh anggota badan. Namun, sebab yang mewajibkan mandi tersebut berbeza mengikut keadaan yang dialami seseorang.
Berikut empat jenis mandi wajib yang perlu diketahui oleh setiap Muslimah.
- Mandi Junub
Mandi junub diwajibkan selepas berlakunya persetubuhan antara suami isteri atau apabila seseorang berada dalam keadaan janabah yang menyebabkan dirinya berhadas besar.
Dalam keadaan junub, seseorang tidak dibenarkan menunaikan solat, membaca al-Quran atau melakukan ibadah tertentu sehingga mandi wajib dilakukan.
Niat mandi junub:
نَوَيْتُ الْغُسْلَ لِرَفْعِ الْحَدَثِ الْأَكْبَرِ مِنَ الْجِنَابَةِ فَرْضًا لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku mandi untuk mengangkat hadas besar daripada janabah kerana Allah Taala.”
- Mandi wajib selepas haid
Haid merupakan fitrah bagi setiap wanita yang telah mencapai usia baligh. Apabila darah haid berhenti sepenuhnya, wanita diwajibkan mandi hadas besar sebelum kembali melaksanakan ibadah seperti solat dan puasa.
Mandi ini menandakan seseorang telah kembali berada dalam keadaan suci.
Niat mandi haid:
نَوَيْتُ الْغُسْلَ لِرَفْعِ حَدَثِ الْحَيْضِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Aku berniat mandi wajib untuk mensucikan hadas besar daripada haid kerana Allah Taala.”
- Mandi Nifas
Nifas ialah darah yang keluar selepas proses kelahiran anak. Tempoh nifas berbeza bagi setiap wanita dan mandi wajib hanya dilakukan selepas darah nifas berhenti sepenuhnya.
Selepas mandi nifas, seorang ibu boleh kembali melaksanakan ibadah yang sebelum ini tidak boleh dilakukan ketika dalam keadaan nifas.
Niat mandi nifas:
نَوَيْتُ الْغُسْلَ لِرَفْعِ حَدَثِ النِّفَاسِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku mandi untuk mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala. ”
- Mandi wiladah
Mandi wiladah mungkin kurang diketahui berbanding mandi haid atau nifas. Wiladah merujuk kepada keadaan selepas melahirkan anak dan ia dibincangkan oleh para ulama sebagai salah satu keadaan yang mewajibkan mandi hadas besar.
Mandi ini dilakukan selepas proses kelahiran walaupun darah nifas belum keluar.
Niat mandi wiladah:
نَوَيْتُ غُسْلَ الْوِلَادَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku mengangkat hadas wiladah (bersalin) kerana Allah Taala.”
Mengetahui jenis-jenis mandi wajib bukan sekadar ilmu asas agama, tetapi juga penting bagi memastikan ibadah yang dilakukan berada dalam keadaan sah dan sempurna.
Sebagai Muslimah, memahami perkara yang mewajibkan mandi hadas besar dapat membantu seseorang melaksanakan tanggungjawab agama dengan lebih yakin dan tepat.
Ilmu ini juga wajar diajarkan kepada anak-anak perempuan yang telah mencapai usia baligh agar mereka lebih bersedia menjalani kehidupan sebagai Muslimah yang memahami tuntutan syariat sejak awal usia.-Muslimah