Suasana malam yang sepatutnya sunyi dan tenang bertukar menjadi detik mencemaskan apabila bunyi ledakan kedengaran hampir setiap 30 minit sejak letupan pertama berlaku.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, wanita dikenali sebagai Anisha Putri berkongsi pengalaman mendebarkan yang dilaluinya pada awal pagi di Bahrain.
“Sudah sampai tahap tidur malam ini wajib pakai abaya. Lindungi dan jagalah kami Ya Allah,” tulisnya, menggambarkan keadaan yang begitu membimbangkan sehingga dia memilih untuk tidur dalam keadaan bersiap siaga.
Menurutnya, sehingga jam 2.44 pagi waktu tempatan (semalam), bunyi letupan masih kedengaran berselang-seli.
“Hampir setiap 30 minit dari awal ledakan pertama sampai sekarang pukul 2.44 pagi waktu Bahrain, masih terdengar bunyi letupan,” tulisnya.
Tambahnya lagi, lokasi kejadian dipercayai sangat dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain kerana siren polis tidak berhenti sejak insiden bermula.
“Sepertinya lokasinya sangat dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, kerana siren polis tidak berhenti. Baru sahaja melihat ada ledakan betul-betul di belakang kawasan lapangan terbang,” kongsinya.
Dalam suasana tegang itu, Anisha turut meluahkan satu renungan yang menyentuh hati tentang makna ketenangan yang sering dipandang ringan.
“Rupanya dapat tidur dengan tenang tanpa gangguan adalah salah satu bentuk rezeki yang tidak boleh diukur dengan harta benda,” luahnya.
Pada jam 2.30 pagi, dia sekali lagi terjaga kerana bunyi siren amaran bahaya.
Situasi mencemaskan itu berlaku susulan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah ketika ini.
Perkembangan semasa yang melibatkan beberapa negara di rantau berkenaan turut memberi kesan kepada suasana keselamatan di negara-negara sekitarnya, termasuk Bahrain.-Muslimah