Segelintir pasangan masih mempunyai salah faham yang besar berhubung hak pasca perceraian terutamanya tindakan bekas suami yang sewenang-wenangnya menghalau isteri keluar dari rumah kelamin sebaik sahaja lafaz talak dibuat.
Menerusi perkongsian seorang peguam syarie, @tun_nafis di platform Threads, terdapat kes ekstrem bekas isteri dihalau serta-merta malah ada yang mendapati tombol pintu rumah sudah ditukar sebaik pulang dari tempat kerja.
Katanya, tindakan tersebut adalah mitos dan salah faham ketara yang sering menganiaya golongan wanita sedangkan undang-undang Syariah dan hukum syarak menetapkan hak yang sangat besar kepada isteri sepanjang tempoh iddah.
“Dalam Islam, selagi wanita berada dalam tempoh iddah kebiasaannya tiga kali suci atau sekitar tiga bulan bagi talak raj’i, bekas suami sama sekali tidak mempunyai hak untuk menghalau mereka keluar dari rumah kelamin.
“Malah daripada sudut hukum syarak, bekas suami yang sepatutnya keluar atau perlu menyediakan satu bahagian rumah yang berasingan sekiranya kediaman tersebut besar demi menjaga privasi dan nafkah tempat tinggal isteri,” katanya.
Tujuan utama tempoh iddah diberikan bagi memberi peluang kepada pasangan terbabit bertenang, selain membuka ruang sekiranya mahu rujuk semula.
Bekas isteri berhak menuntut nafkah Iddah sepanjang tempoh tiga bulan tersebut yang wajib ditanggung sepenuhnya oleh bekas suami.
Nafkah berkenaan merangkumi keperluan asas seperti makan dan minum harian yang munasabah, pakaian yang bersesuaian dan kos bil-bil asas rumah yang diduduki oleh isteri.
“Pendek kata, sebelum anda melangkah keluar, semua keperluan ini bekas suami masih kena tanggung macam biasa,” ujarnya lagi.
Terdapat situasi di mana isteri dibenarkan untuk keluar daripada rumah berkenaan atas faktor keselamatan diri atau kesihatan mental contohnya akibat sering dimaki hamun sehingga menjejaskan emosi.
Begitupun, isteri dinasihatkan untuk tidak keluar ‘secara percuma’. Di mahkamah nanti, mereka boleh menuntut bekas suami untuk membayar kos sewa rumah baharu atau kos penginapan sepanjang tempoh iddah tersebut sebagai ganti rugi.
“Jadi untuk kaum wanita, tolong jangan panik atau rasa kerdil bila diugut dengan perkataan ‘halau’.
Undang-undang Syariah kita sangat menjaga kebajikan isteri pasca perceraian supaya tidak terabai atau merempat,” katanya.-Muslimah