Seorang lelaki yang juga bekas suami kepada Jahidah Nordin dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini selepas dipercayai mencederakan isteri baharunya hingga parah.
Lelaki berusia 43 tahun itu berkemungkinan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau objek berbahaya.
Menurut laporan Utusan Malaysia, lelaki terbabit tiba di kompleks mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan diiringi pegawai penjara.
Dia hadir dalam keadaan tangan bergari serta memakai pakaian penjara berwarna merah.
Sebelum ini, media melaporkan seorang jururawat mengalami kecederaan serius selepas dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa keguguran selain mengalami patah tulang rusuk dan tulang belakang.
Lelaki tersebut yang dikatakan pernah berkahwin sebanyak sembilan kali juga dipercayai tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sering menyasarkan wanita berkerjaya, khususnya penjawat awam untuk menumpang senang.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Rayuan di Putrajaya sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap suspek selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah lima tahun lalu.
Jahidah kini berada dalam keadaan vegetatif akibat dipukul dengan kejam sehingga koma.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang sebulat suara menolak rayuan tertuduh terhadap sabitan serta hukuman penjara 10 tahun yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini.-Muslimah