Setiap kali tiba Aidiladha, peti sejuk di rumah pasti mula dipenuhi daging korban yang diagihkan kepada ahli keluarga, jiran dan masyarakat setempat.
Ada yang campur semua daging dalam satu plastik besar, biarkan terlalu lama pada suhu bilik atau terus masukkan ke dalam peti sejuk tanpa pengasingan.
Walaupun nampak remeh, kesilapan kecil ketika menyimpan daging sebenarnya boleh menyebabkan daging cepat rosak, berbau dan meningkatkan risiko pencemaran bakteria kepada keluarga.
Perkongsian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan daging korban perlu dikendalikan dengan bersih serta disimpan pada suhu yang sesuai supaya kekal segar dan selamat dimakan.
Jangan biarkan daging terlalu lama pada suhu bilik
Antara kesilapan paling biasa ialah membiarkan daging terlalu lama pada suhu bilik selepas proses sembelihan.
Dalam cuaca panas, bakteria boleh membiak dengan cepat terutama apabila daging tidak disejukkan segera. Daging juga tidak digalakkan berada pada suhu bilik melebihi dua jam kerana keadaan itu boleh meningkatkan risiko pencemaran makanan.
Simpan ikut suhu yang sesuai
Bagi kegunaan harian, daging disarankan disimpan di dalam peti sejuk pada suhu antara 0 hingga 4 darjah Celsius dan biasanya mampu bertahan sekitar tiga hingga lima hari.
Daging juga sebaiknya diletakkan di bahagian paling sejuk dalam peti ais bagi membantu mengekalkan kesegarannya lebih lama.
Untuk simpanan jangka panjang pula, daging perlu dibekukan pada suhu negatif 18 darjah Celsius atau lebih rendah. Kaedah pembekuan yang betul membantu daging tahan sehingga enam hingga 12 bulan tanpa menjejaskan kualitinya.
Namun, peti sejuk beku juga perlu dipastikan tidak terlalu penuh supaya udara sejuk dapat beredar dengan baik.
Potong kecil ikut keperluan memasak
Ramai juga gemar terus membekukan daging dalam kuantiti besar sedangkan cara itu menyukarkan proses penyahbekuan dan boleh menjejaskan tekstur daging.
Sebaiknya, daging dipotong kecil mengikut keperluan memasak harian sebelum disimpan. Cara ini bukan sahaja memudahkan urusan memasak, malah membantu proses pembekuan berlaku dengan lebih baik.
Cara pembungkusan yang betul elak pencemaran silang
Penggunaan bekas bertutup rapat atau plastik gred makanan juga digalakkan bagi mengelakkan kebocoran darah dan pencemaran silang dalam peti ais.
Selain itu, udara berlebihan dalam plastik simpanan juga sebaiknya dibuang sebelum diikat atau ditutup kemas. Label tarikh penyimpanan turut digalakkan supaya daging lebih mudah diurus dan digunakan mengikut tempoh sesuai.
Daging mentah perlu diasingkan daripada makanan lain seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang telah dimasak.
Jaga kebersihan ketika mengendalikan daging
Selain penyimpanan, kebersihan ketika mengendalikan daging korban juga sangat penting.
Pisau, papan pemotong dan permukaan dapur perlu dibersihkan sebelum dan selepas digunakan bagi mengelakkan bakteria merebak kepada makanan lain.
Sealin itu, cuci tangan sebelum memotong dan membungkus daging.
Bagi proses agihan pula, penggunaan beg penyejuk bersama ais membantu kesegaran daging terutama jika penghantaran mengambil masa yang lama.
Daging juga perlu diagihkan secepat mungkin dan tidak terdedah terlalu lama di bawah panas matahari.
Selain itu, daging korban perlu dimasak sehingga benar-benar masak sebelum dimakan bagi memastikan bakteria berbahaya dimusnahkan sepenuhnya.
Ibadah korban bukan hanya tentang pengagihan daging, tetapi memastikan rezeki yang diberikan sampai kepada penerima dalam keadaan bersih, selamat dan berkualiti.-Muslimah