Hutang antara punca hilang khusyuk dalam ibadah

Amalan berhutang bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan masyarakat hari ini. Malah, Islam sendiri tidak pernah melarang umatnya berhutang sebaliknya melihatnya sebagai satu medium kemudahan atau jalan keluar bagi mereka yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan.

Bagaimanapun, kemudahan yang pada awalnya dianggap sebagai nikmat ini boleh bertukar menjadi satu sengsara yang berpanjangan sekiranya tidak diuruskan dengan bijaksana dan berhemah.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi satu hantaran di media sosialnya menegaskan, hutang yang pada mulanya kelihatan kecil dan remeh berisiko besar untuk bertukar menjadi bebanan yang amat berat jika dibiarkan tanpa kawalan.

Menurut beliau, impak daripada kegagalan menguruskan hutang bukan sahaja menjejaskan poket, malah turut memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental dan emosi individu terbabit.

“Beban kewangan ini boleh menyebabkan fikiran seseorang menjadi tidak tenang, hati sentiasa diselubungi kegusaran, malah hubungan sesama manusia juga boleh terjejas.

“Lebih membimbangkan, ia turut mengganggu khusyuk dan ketenangan dalam beribadah akibat tekanan yang berpanjangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa bebanan hutang yang berat mempunyai kaitan rapat dengan risiko seseorang itu terjebak dalam perbuatan maksiat dan dosa.

Kebimbangan ini sebenarnya telah lama diperingatkan oleh Rasulullah SAW menerusi amalan doa Baginda yang sering memohon perlindungan daripada belenggu hutang.

Antara doa masyhur yang sering diamalkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan dalam Hadis Al-Bukhari (833) bermaksud:

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.”

Amalan doa yang kerap dibaca oleh Baginda itu pernah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan para sahabat, sehinggakan ada yang bertanya:

“Wahai Rasulullah, mengapa begitu banyak engkau memohon perlindungan daripada hutang?”

Lalu Baginda SAW menjawab dengan bersabda:

“Sesungguhnya seseorang apabila dibebani hutang, dia akan bercakap lalu berdusta, dan berjanji lalu memungkiri.” (Riwayat Al-Bukhari)

Jelasnya, penegasan daripada hadis tersebut membuktikan bahawa hutang mempunyai impak psikologi yang sangat kuat sehingga mampu menekan moral seseorang.

Demi meloloskan diri daripada desakan pemiutang, ada individu yang sanggup menggadaikan integriti diri dengan mula berbohong dalam percakapan serta memungkiri janji yang telah dibuat.

“Apabila Nabi SAW sendiri memohon perlindungan daripada belenggu hutang, ini menunjukkan bahawa isu hutang bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan atau dibuat main,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat agar sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati dan berbelanja mengikut kemampuan. Memilih gaya hidup yang bersederhana adalah jauh lebih mulia dan menenangkan berbanding mengejar kemewahan yang dibina di atas timbunan hutang.

“Berhutanglah hanya apabila perlu, bukan kerana mengikut nafsu atau keinginan untuk bermewah-mewah. Berbelanjalah dengan sederhana kerana kesederhanaan itu lebih menjamin ketenangan hidup berbanding kemewahan yang bersandarkan hutang,” katanya. –Muslimah