Alahan mengandung berisiko meragut nyawa

Alahan semasa mengandung sering dianggap biasa dalam kalangan ibu hamil. Antara simptom yang lazim dialami termasuk loya dan muntah, yang berlaku akibat perubahan hormon sepanjang tempoh kehamilan.

Namun, tidak semua alahan boleh dipandang ringan. Dalam kes tertentu, ia mampu membawa komplikasi serius sehingga mengancam nyawa. 

Perkara ini tular apabila akaun TikTok @QueenofAmal berkongsi kisah seorang wanita yang dilaporkan meninggal dunia akibat alahan kehamilan yang terlalu teruk.

Difahamkan, wanita itu mengalami muntah berpanjangan sehingga hilang selera makan dan minum. Keadaan tersebut berlarutan dan menjejaskan kesihatan sehingga akhirnya menghembuskan nafas terakhir.

Menurut perkongsian video daripada doktor perubatan, Dr. Muhammad Hazwan Nazri, punca loya dan muntah ketika hamil bukan disebabkan bau makanan, bau suami atau faktor luaran lain seperti yang sering disalah anggap. Sebaliknya, berpunca daripada perubahan hormon dalam badan ibu hamil. 

“Hormon yang dikenali sebagai GDF-15 (Growth Differentiation Factor 15) dihasilkan oleh uri atau plasenta bayi. Hormon ini akan mengalir ke otak dan merangsang pusat muntah,” katanya.

Tambahnya, rangsangan tersebut berlaku di bahagian otak yang dikenali sebagai vomiting center yang terletak di kawasan medulla oblongata, khususnya di area postrema.

“Hal inilah yang menyebabkan ibu hamil mengalami muntah yang berterusan dan berulang-kali,” katanya.

Bila muntah jadi bahaya

Muntah yang berlebihan dan tidak terkawal sehingga menyebabkan penurunan berat badan melebihi lima peratus, dehidrasi serta kekurangan nutrisi dikenali sebagai Hyperemesis Gravidarum.

Kajian daripada Universiti Cambridge mendapati keadaan ini berkait rapat dengan tahap hormon GDF-15 yang tinggi dalam badan.

Ibu hamil yang kerap muntah tidak mampu makan dan minum secukupnya. Keadaan ini menyebabkan kekurangan nutrisi dan protein, sekali gus menjejaskan tumbesaran janin serta meningkatkan risiko kematian. 


Lebih membimbangkan, muntah berlebihan boleh membawa kepada kegagalan pelbagai organ (multi-organ failure) apabila organ dalaman tidak menerima bekalan darah mencukupi.

Selain itu, kehilangan cecair yang banyak menyebabkan darah menjadi pekat, sekali gus mengganggu aliran darah ke seluruh badan. 

Akibatnya, organ tidak menerima oksigen dan nutrisi yang mencukupi, seterusnya meningkatkan risiko keradangan sistemik dan kegagalan organ.

“Keadaan ini juga meningkatnakan kecenderungan pembentukan darah beku di kaki, dikenali sebagai Deep Vein Thrombosis (DVT) .

Selain itu, antara punca utama kematian ibu hamil ialah apabila darah beku tersebut bergerak ke paru-paru dan menyebabkan Pulmonary Embolism yang sering direkodkan dalam statistik kematian berkaitan kehamilan.

Pengorbanan wanita

Dr. Muhammad Hazwan menegaskan kehamilan adalah satu proses berisiko tinggi yang boleh mengundang pelbagai komplikasi, bukan sahaja ketika hamil, malah selepas bersalin seperti jangkitan rahim, pendarahan dan pembekuan darah.

Justetu, para suami diingatkan agar tidak memandang ringan keadaan alahan yang dialami isteri. Sokongan fizikal dan emosi amat penting bagi memastikan kesihatan ibu dan janin sentiasa terpelihara.

Alahan yang kelihatan biasa sebenarnya boleh menjadi ancaman serius sekiranya tidak dirawat dengan segera dan betul.-Muslimah