Isteri queen control atau suami gagal memimpin?

Dalam banyak perkahwinan hari ini, isu isteri dilihat terlalu mengawal atau queen control sering menjadi perbualan. 

Namun, di sebalik persepsi itu, ada cerita yang jarang diselami tentang cara seorang suami dibentuk sejak kecil.

Hakikatnya, gaya didikan ibu bapa yang terlalu mengawal boleh memberi kesan jangka panjang terhadap keperibadian anak lelaki, khususnya dalam aspek kepimpinan apabila melangkah ke alam rumah tangga.

Perkongsian seorang pengguna Threads, @lilysorchid, membuka ruang refleksi tentang perkara ini. 

Wanita itu mengakui pernah berada dalam fasa menjadi isteri yang terlalu mengawal, bukan kerana mahu mendominasi tetapi kerana suami kurang memainkan peranan sebagai ketua keluarga.

“Saya ingat dahulu saya punca rumah tangga jadi tegang sebab terlalu mengawal. Rupanya, suami memang tidak biasa buat keputusan sendiri sejak kecil,” kongsinya jujur.

Menurutnya, hanya selepas mendalami ilmu rumah tangga dan melakukan refleksi diri, barulah dia faham sikap suaminya bukanlah terbentuk secara tiba-tiba, tetapi dipengaruhi oleh corak didikan sejak kecil.

Antara faktor utama ialah gaya keibubapaan yang terlalu micromanaging, di mana setiap keputusan anak lelaki ditentukan sepenuhnya oleh ibu, walaupun anak sudah meningkat dewasa.

Tanpa ruang untuk membuat pilihan sendiri, anak lelaki tidak berpeluang membina keyakinan diri, apatah lagi mengasah kemahiran membuat keputusan. 

Akibatnya, apabila berdepan realiti perkahwinan, mereka mudah berasa ragu-ragu dan kurang yakin untuk memimpin.

“Suami saya baik orangnya, tetapi bila bab buat keputusan, dia jadi ragu-ragu. Akhirnya saya yang buat semua. Lama-kelamaan saya penat, dia pula semakin pasif,” katanya.

Keadaan ini akhirnya mencipta satu kitaran. Apabila suami tidak memimpin, isteri secara tidak sedar akan mengambil alih. 

Daripada situlah muncul label queen control yang sering digunakan oleh masyarakat terhadap isteri yang dominan, sedangkan realitinya jauh lebih kompleks daripada itu.

Malah, situasi itu juga sering dikaitkan dengan fenomena manchild, iaitu lelaki dewasa yang masih bergantung kepada orang lain kerana tidak dilatih berdikari sejak kecil.

Begitupun, isu ini tidak boleh dilihat secara hitam putih. Ia turut melibatkan pelbagai faktor lain seperti latar belakang keluarga, pengalaman hidup serta peranan bapa membentuk keyakinan dan kepimpinan anak lelaki.

Lebih penting, kesedaran adalah langkah pertama ke arah perubahan.

“Bila saya faham puncanya, saya berhenti salahkan diri sendiri. Kami sama-sama belajar perbaiki komunikasi dan cara buat keputusan,” katanya.

Kesimpulannya, pembentukan seorang lelaki yang mampu memimpin bukan berlaku dalam sehari. Ia bermula sejak kecil melalui peluang membuat keputusan, kepercayaan yang diberi dan bimbingan yang seimbang daripada kedua ibu bapa.-Muslimah