Jika diberi satu peluang untuk ‘melihat’ kembali dunia, Masitah Mohd. Afandy tidak meminta lebih.
Cukup sekadar menatap wajah suami tercinta,Nik Nazri Abidin yang kini hanya dapat dirasai melalui sentuhan dan ingatan.
Hasrat itu mungkin tampak sederhana, namun bagi wanita berusia 35 tahun ini, ia membawa makna yang sangat besar.
Sejak kehilangan penglihatan sepenuhnya akibat kemalangan pada 21 Mac 2023, dunia Masitah berubah sekelip mata namun suami tetap setia berada di sisi dan menemaninya.
Suami juga tidak lokek memberikan semangat dan motivasi untuk beliau meneruskan kehidupan meskipun sudah berbeza keupayaan.
Pengorbanan itu juga membakar semangatnya untuk terus hidup, bekerja dan memberi manfaat kepada insan lain sementara masih diberi nafas.
“Kalau boleh melihat semula, saya mahu tatap wajah suami,” kata wanita ini ringkas kepada Muslimah.

Akibat kemalangan tragik pada 21 Mac 2023, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NM Aircond Sdn. Bhd. (Aircondxpree) ini diuji buta sepenuhnya.
Namun, semangat wanita ini cukup cekal mengharungi ujian hidup. Perkongsian positifnya di media sosial seringkali menarik perhatian ramai wanita yang mengagumi semangatnya.
Bagi beliau, kekurangan fizikal bukan alasan untuk berhenti berjuang .
Sebaliknya, anak kelahiran Johor Bahru ini terus mengemudi syarikat, menjalani kehidupan dengan penuh reda serta memperluaskan ruang kebaikan dalam kapasiti yang ada.
Dunia perniagaan bukan sekadar sumber rezeki buat Masitah, sebaliknya satu minat yang sudah sebati dalam dirinya.
Walaupun diberikan cuti sakit selama dua tahun selepas kemalangan, beliau memilih untuk kembali bekerja hanya 40 hari selepas kejadian.
Menurutnya, minat mendalam terhadap dunia perniagaan menjadi pendorong utama untuk terus aktif bekerja meskipun berdepan cabaran besar.
“Saya memang sangat menikmati apa yang saya buat, dunia perniagaan ini memang minat saya. Sebab itu walaupun diuji, saya tetap mahu teruskan kerja seperti biasa,” katanya.

Masitah yang menggambarkan dirinya sebagai seorang yang mudah bergaul, kurang drama dan tidak terlalu mengambil serius perkara kecil, mengakui obses terhadap kerja kerana benar-benar menikmati bidang yang diceburinya.
Minat tersebut turut diperkukuh oleh prinsip hidup yang dipelajari daripada mentornya, Profesor Datuk Wira Dr. Haji Azizan Osman, khususnya sabda Rasulullah SAW bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.
“Saya pegang prinsip itu, jadi setiap hari saya bangun dengan niat untuk bantu pelanggan, kakitangan dan komuniti. Bagi saya, hidup ini bukan tentang diri sendiri semata-mata,” katanya.
Ujian yang mengubah segalanya
Masitah tidak melihat kehilangan penglihatan sebagai satu musibah, sebaliknya menerima ujian tersebut sebagai hadiah daripada Allah.
“Saya tidak pernah rasa saya jatuh kerana bagi saya ini cuma proses adaptasi. Banyak perkara perlu belajar semula termasuk mandi dan makan sendiri,” katanya.
Katanya, proses melupakan tragedi hitam itu dan beradaptasi dengan dunia baharu menuntut kesabaran yang tinggi, namun beliau percaya manusia diciptakan dengan keupayaan untuk menyesuaikan diri apabila diberikan masa dan sokongan yang mencukupi.
Beliau bersyukur kerana dikurniakan sistem sokongan yang kuat daripada suami, keluarga serta kakitangan yang melayan beliau seperti biasa tanpa memandangnya sebagai seorang yang kekurangan upaya.
Tambahnya, kesedihan sebenar yang dirasai hanyalah atas kehilangan seorang kakitangan yang meninggal dunia dalam kemalangan sama.
Memberi, walaupun dalam kekurangan
Di sebalik kekangan fizikal, Masitah terus aktif dalam kerja-kerja sukarelawan bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Ihsan Johor dan terlibat dalam beberapa misi kemanusiaan, termasuk usaha menyelamat rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai, selain penghantaran bantuan banjir ke Aceh.
Beliau turut menggerakkan inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak 2022 dengan sasaran bekerjasama bersama 100 institusi pengajian tinggi, di samping melaksanakan program pra-internship serta merancang pelancaran projek The CEO101 bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar TVET.
Perkongsian jujurnya di media sosial, khususnya di TikTok, turut memberi kesan besar kepada orang ramai, termasuk seorang pesakit SLE yang kembali bersemangat untuk meneruskan rawatan selepas menonton videonya.
“Kalau perkongsian saya boleh selamatkan satu nyawa, itu seolah-olah menyelamatkan diri saya sendiri,” katanya.
Kekuatan yang tidak terlihat
Bagi Masitah, kejayaan sebenar bukan terletak pada keuntungan semata-mata, tetapi sejauh mana seseorang mampu hidup untuk memberi manfaat dan menjadi sebab orang lain terus kuat menghadapi ujian hidup.
Dalam dunia yang sering mengukur kejayaan melalui perkara yang dapat dilihat, Masitah membuktikan kekuatan sebenar lahir daripada hati yang menerima, jiwa yang reda dan semangat yang tidak pernah padam.