Hiburan dan batasannya

Masyarakat khususnya golongan muda diingatkan agar lebih berhati-hati menilai bentuk hiburan moden yang semakin berkembang pesat, termasuk acara berskala besar yang menggabungkan muzik elektronik, elemen air, visual ekstrem dan suasana pesta terbuka.

Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun berkata, hiburan pada asasnya adalah harus dalam Islam kerana ia sebahagian daripada fitrah manusia.

Namun, ia tidak boleh dilihat secara mutlak tanpa mengambil kira batas syarak serta kesan terhadap akhlak dan gaya hidup masyarakat.

Menurutnya, perkembangan trend hiburan masa kini menunjukkan wujudnya elemen berlebihan daripada sudut suasana, pergaulan dan rangsangan emosi sehingga boleh memberi kesan kepada kawalan diri serta sensitiviti terhadap batas agama.

Beliau turut mengingatkan sejarah penganjuran festival muzik berskala besar sebelum ini pernah mencetuskan kebimbangan apabila berlaku insiden penyalahgunaan bahan terlarang yang membawa kepada kematian, sekali gus membuka mata masyarakat terhadap risiko budaya hiburan tanpa kawalan.

“Apabila hiburan dijadikan pusat kehidupan tanpa sempadan, ia boleh melahirkan budaya hedonisme iaitu menjadikan keseronokan sebagai matlamat utama hidup,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Tambahnya, konsep hiburan moden yang menggabungkan muzik berintensiti tinggi, suasana pesta terbuka dan percampuran bebas lelaki serta wanita boleh memberi pengaruh kepada emosi dan tingkah laku, terutamanya apabila berada dalam suasana rangsangan yang berlebihan.

Daripada sudut psikologi dan neurosains, rangsangan melampau seperti muzik kuat dan suasana pesta boleh meningkatkan dopamin secara berlebihan, yang berpotensi menjejaskan pertimbangan rasional seseorang.

Begitupun, katanya, Islam tidak menolak hiburan, namun ia perlu dipandu dengan garis panduan yang jelas agar tidak melibatkan perkara yang melanggar syariat seperti pergaulan bebas, pendedahan aurat yang tidak terkawal serta unsur maksiat.

“Lebih membimbangkan apabila hiburan dibiarkan tanpa sempadan dan dosa dinormalisasikan, sedikit demi sedikit sensitiviti terhadap dosa akan terhakis sehingga yang salah dianggap biasa dan dosa tidak lagi dirasakan sebagai dosa,” katanya.

Justeru, Ustazah Asma’ Harun menyeru agar masyarakat lebih bijak menilai setiap bentuk hiburan yang ditawarkan, bukan hanya berdasarkan keseronokan semata-mata, tetapi juga kesan jangka panjang terhadap akhlak, keluarga dan generasi muda.

“Sebagai Muslim, kita tidak dituntut menolak dunia, tetapi kita dituntut mengawalnya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan generasi muda perlu dilindungi daripada budaya hiburan melampau yang boleh merosakkan nilai dan arah hidup serta menyeru agar umat Islam sentiasa memohon kefahaman dan petunjuk daripada Allah SWT dalam membuat penilaian.

“Semoga Allah SWT kurniakan kita kefahaman yang benar dalam menilai sesuatu perkara serta kekuatan untuk menjaga diri, keluarga dan masyarakat daripada perkara yang melalaikan,” katanya.-Muslimah