Kasih sayang seorang suami bukan hanya diukur melalui hadiah mahal atau kata-kata romantis.
Kadang-kala, perkara kecil yang dilakukan setiap hari sudah cukup memberi makna besar kepada isteri dan keluarga.
Suami penyayang selalunya tidak perlu terlalu banyak berbicara. Sikap dan tindakannya sendiri sudah cukup menggambarkan rasa cinta, hormat dan tanggungjawab terhadap pasangan.
1. Mendengar dengan penuh perhatian
Seorang suami penyayang tahu mendengar juga adalah satu bentuk kasih sayang. Dia tidak sekadar mendengar untuk menjawab, tetapi mendengar untuk memahami.
Apabila isteri bercerita tentang penatnya hari yang dilalui, tekanan kerja atau perkara kecil yang mengganggu fikiran, dia memberi perhatian dan ruang untuk isteri meluahkan perasaan.
Wanita tidak memerlukan penyelesaian segera. Dia hanya mahu didengari.
2. Membantu tanpa perlu disuruh
Suami yang penyayang tidak melihat urusan rumah tangga sebagai tanggungjawab isteri semata-mata. Sebaliknya, ringan tulang membantu apabila melihat pasangan keletihan.
Mungkin sekadar membasuh pinggan, menjaga anak seketika atau mengemas rumah. Perkara kecil sebegini mampu membuatkan isteri rasa dihargai dan tidak memikul beban seorang diri.
Rasulullah SAW sendiri membantu ahli keluarga di rumah apabila ada kelapangan.
3. Menjaga tutur kata ketika marah
Setiap pasangan pasti melalui perbezaan pendapat. Namun, suami penyayang faham marah bukan alasan untuk melukai pasangan dengan kata-kata kasar.
Dia memilih untuk berbincang dengan tenang, menjaga adab dan tidak menjatuhkan maruah isteri walaupun ketika emosi sedang terganggu.
Kasih sayang sebenar sering terserlah bukan ketika bahagia tetapi ketika diuji konflik.
4. Menghargai usaha isteri
Ucapan ringkas seperti ‘terima kasih’, ‘awak penat hari ini ya’ atau ‘sedap masakan tadi’ mungkin nampak kecil tetapi sangat besar nilainya di hati seorang isteri.
Suami penyayang tidak berkira untuk menunjukkan penghargaan. Dia sedar usaha isteri mengurus rumah, anak-anak dan keluarga bukan perkara yang wajar dipandang biasa.
Apabila dihargai, seorang isteri akan lebih tenang dan bahagia menjalani peranannya.
5. Menjaga hubungan dengan Allah dan keluarga
Suami yang benar-benar penyayang bukan hanya baik kepada isteri, tetapi berusaha menjadi pemimpin keluarga yang membawa rumah tangga ke arah kebaikan.
Dia mengajak solat, menjaga nafkah, menunjukkan contoh akhlak baik dan berusaha mewujudkan suasana harmoni di rumah.
Kasih sayang paling indah ialah apabila seorang suami bukan sekadar menjaga dunia isterinya, tetapi juga memimpin ke jalan akhirat.
Tidak semua suami pandai melafazkan cinta, tetapi ramai yang menunjukkan kasih sayang melalui perbuatan.
Suami penyayang bukan yang paling romantis di mata orang lain, tetapi yang sentiasa hadir, bertanggungjawab dan berusaha membahagiakan keluarganya setiap hari.-Muslimah