Tekanan kerja tingkat risiko orang muda kena strok

Strok kekal sebagai penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia, dengan beban neurologi yang signifikan dan semakin meningkat di seluruh negara. 

Pada tahun 2019 sahaja, Malaysia merekodkan kira kira 47,911 kes strok baharu, 19,928 kematian dan hampir 443,995 individu hidup dengan kecacatan berkaitan strok.

Lebih membimbangkan, Kajian epidemiologi turut menunjukkan perubahan yang membimbangkan ke arah kumpulan usia lebih muda. 

Insiden strok dalam kalangan individu berumur 35 hingga 39 tahun meningkat sekitar 53.3 peratus dalam kalangan lelaki dan 50.4 peratus dalam kalangan wanita sekaligus menandakan peningkatan faktor risiko vaskular berkaitan gaya hidup.

Daripada perspektif pembedahan saraf, banyak kes yang paling teruk melibatkan pendarahan otak, pembengkakan malignan atau aneurisma yang pecah, keadaan yang mungkin memerlukan intervensi segera atau pembedahan bagi menyelamatkan fungsi otak.

Pakar Bedah Saraf Ampang Puteri Specialist Hospital, Dr. Kuha Raj Arumugam berkata, pakar bedah saraf semakin kerap merawat golongan dewasa muda yang mengalami komplikasi akibat tekanan berpanjangan dan hipertensi yang tidak terkawal.

Tekanan kerja kronik menyumbang kepada peningkatan tekanan darah yang berterusan, gangguan tidur dan ketidakseimbangan metabolik. 

Faktor ini meningkatkan risiko strok iskemia dan strok hemoragik. Keletihan melampau atau burnout semakin menjadi isu kesihatan utama di Asia Tenggara. 

“Kajian semakan rakan sebaya menunjukkan sebahagian besar golongan bekerja melaporkan tekanan psikologi dan keletihan akibat tuntutan kerja, yang secara tidak langsung meningkatkan risiko kardiovaskular.

“Daripada sudut pandang pembedahan saraf, pesakit sering datang lewat mendapatkan rawatan kerana simptom seperti sakit kepala, pening atau keletihan disalah anggap sebagai tekanan kerja biasa dan bukannya tanda awal masalah neurologi,” katanya.

KUHA RAJ ARUMUGAM

Tambahnya, penyakit kardiovaskularkekal sebagai penyumbang utama kematian dengan hipertensi, diabetes dan kolesterol tinggi berkait rapat dengan risiko strok.

Tekanan darah tinggi boleh melemahkan salur darah di otak dari semasa ke semasa, meningkatkan risiko pendarahan intrakranial atau aneurisma pecah. 

Ramai golongan muda tidak menyedari risiko ini sehingga komplikasi neurologi serius berlaku.

Tanda amaran

Golongan profesional muda perlu peka dengan simptom neurologi secara tiba tiba ini, terutamanya jika mempunyai tekanan kerja atau hipertensi:

  • Lemah atau kebas secara tiba tiba pada satu bahagian badan
  • Kesukaran bertutur atau memahami percakapan
  • Sakit kepala yang teruk secara mendadak
  • Hilang keseimbangan atau penglihatan kabur

Penilaian perubatan segera membantu menentukan sama ada rawatan pembedahan saraf kecemasan diperlukan.

Lindungi kesihatan otak

Pencegahan sentiasa lebih baik daripada pembedahan kecemasan.

*Pantau tekanan darah secara berkala

Hipertensi kekal sebagai salah satu faktor risiko strok yang boleh diubah.

*Urus tekanan sejak awal

Aktiviti fizikal, rehat berkala dan sokongan kesihatan mental membantu menstabilkan kesihatan vaskular.

*Dapatkan nasihat perubatan segera

Sakit kepala berpanjangan atau simptom neurologi tidak boleh diabaikan.-Muslimah