Kenapa ramai sakit selepas raya?

Perasan atau tidak ramai yang akhirnya ‘tumbang’ selepas seminggu meraikan Aidilfitri. 

Bukan kerana keletihan melakukan persiapan semata-mata tetapi kerana badan sudah mencapai tahap kapasiti maksimum.

Pengamal perubatan, Dr. Azra Aziz berkata, punca utama masalah kesihatan selepas raya bukanlah semata-mata kerana kuantiti makanan tetapi gaya pemakanan yang tidak teratur dan kurangnya waktu rehat.

Katanya, ramai menganggap raya sebagai satu jamuan besar untuk menikmati pelbagai juadah sahaja. 

Hakikatnya, pengumpulan kalori atau beban kerja organ dalaman berlaku secara bertahap melalui pelbagai rumah terbuka dan pelbagai jenis hidangan yang berlangsung selama berhari-hari.

“Masalahnya bukan makan banyak dalam satu masa tetapi makan tanpa henti, kurang minum air dan kurang tidur hingga badan tidak sempat untuk pulih,” jelasnya.

Tip sihat sepanjang Syawal

Bagi memastikan tubuh kekal cergas sepanjang Syawal, terdapat senarai semak dan tip praktikal yang boleh diamalkan.

“Tip yang boleh diamalkan terbahagi kepada dua iaitu persediaan awal dan perilaku semasa jamuan.

“Persediaan awal adalah seperti tidur yang secukupnya, kekal menjaga tahap hidrasi tubuh dan elakkan ‘skip’ makan sehari sebelum jamuan.

“Bagi perilaku semasa jamuan pula, ambil hidangan saiz kecil dan sentiasa mulakan dengan saiz hidangan yang sedikit untuk merasa. Selepas itu, kunyah perlahan untuk memberi masa kepada otak untuk menghantar isyarat kenyang.

Tambahnya, pastikan ada jarak masa untuk berkunjung bagi memberikan ruang waktu (kepada badan sebelum beralih ke destinasi seterusnya.

“Jangan abaikan tanda-tanda badan yang mula menunjukkan tanda seperti kembung perut, cepat letih, pening, loya atau perubahan emosi (mood swing),” katanya. 

Selain itu, beliau turut berpesan agar sentiasa berani untuk berkata ‘tidak’ demi kesihatan tubuh jika dipaksa makan oleh tuan rumah. 

“Jangan paksa diri makan semata-mata tidak mahu kecilkan hati orang. Kesihatan anda lebih penting daripada paksaan makan,”katanya.-Muslimah