Dalam meniti sebuah perhubungan, ramai yang terlepas pandang apabila garis antara perlindungan dan kawalan.
Itulah permulaan kepada sebuah hubungan mendera yang sering kali disangka sebagai cinta sejati.
Menerusi satu perkongsian tular oleh pakar terapi, fitri.hidayat95, beliau mendedahkan sifat mendera dalam hubungan selalunya tidak bermula dengan kekerasan fizikal, sebaliknya terselubung di sebalik topeng kasih sayang yang keterlaluan.
Menurutnya, ramai mangsa tidak sedar sedang terjerumus ke dalam lubang gelap ini kerana pada fasa awal, pasangan yang mendera sering kali tampil sebagai sosok yang paling penyayang dan terlalu melindungi.
“Awal-awal nampak macam cinta yang mendalam tapi perlahan-lahan bertukar menjadi kawalan. Cemburu bertukar jadi ketakutan,” katanya.
Daripada sudut psikologi, tingkah laku itu berakar umbi daripada isu dalaman si pelaku seperti ketidakstabilan emosi, rasa kurang keyakinan diri yang tinggi, malah trauma masa lalu yang tidak dirawat.
“Antara tanda awal yang sering dipandang remeh adalah kawalan terhadap privasi dan pergaulan.
“Bermula dengan sekadar bertanya khabar dam boleh melarat kepada tindakan memeriksa telefon bimbit, tidak suka pasangan keluar dengan rakan-rakan malah marah jika lambat membalas mesej.
“Lebih parah, mangsa sering kali merasa seolah-olah perlu ‘berjalan di atas kulit telur’ iaitu satu keadaan di mana mangsa sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan dan kata-kata semata-mata untuk menjaga mood si pelaku agar tidak meletus,” katanya.
Fitri turut menyentuh mengenai kitaran mendera yang manipulatif. Selepas melakukan tindakan menyakitkan, si pelaku akan meminta maaf dengan penuh hiba, berjanji untuk berubah dan kembali menjadi seorang yang sangat manis.
“Si pelaku akan buat mangsa rasa seolah-olah punca kepada tindakan dia sendiri. Dia minta maaf tetapi corak tetap sama,” katanya.
Ramai beranggapan penderaan hanya berlaku apabila ada lebam atau luka di badan. Sedangkan, penderaan emosi menerusi hinaan, sindiran, gaslighting dan tindakan mengabaikan pasangan memberikan impak yang jauh lebih lama untuk sembuh berbanding luka fizikal.
“Langkah pertama untuk keluar daripada kemelut ini adalah dengan menyedari hakikat cinta tidak seharusnya menyakitkan.
“Perubahan sebenar memerlukan akauntabiliti dan usaha konsisten daripada si pelaku, bukannya sekadar janji kosong setiap kali selepas melakukan kesilapan,” katanya.-Muslimah