Isu kecurangan dalam rumah tangga kebiasaannya sering dikaitkan dengan pergolakan emosi semata-mata. Bagaimanapun, di sebalik kehangatan perbincangan netizen di media sosial, ramai yang masih keliru sama ada tindakan curang melandasi peruntukan undang-undang negara atau sebaliknya.
Mengulas mengenai polemik tersebut, firma guaman Liyanaco.law menerusi satu perkongsian menjelaskan bahawa istilah curang sebenarnya tidak wujud secara khusus sebagai satu kesalahan tunggal dalam kamus perundangan di Malaysia.
“Setiap kes kecurangan perlu dinilai secara terperinci berdasarkan fakta kes dan situasi sebenar sebelum sebarang tindakan undang-undang boleh diambil,” katanya.
Menurutnya lagi, bagi pasangan beragama Islam, terdapat beberapa peruntukan kesalahan di bawah Undang-Undang Jenayah Syariah yang boleh dikaitkan dengan perbuatan curang.
“Tindakan curang boleh membawa implikasi undang-undang yang berbeza bergantung kepada elemen kesalahan.
“Sebagai contoh, sekiranya wujud unsur khalat, zina atau gangguan terhadap rumah tangga, ia boleh disiasat di bawah enakmen jenayah syariah negeri masing-masing,” tambahnya.
Walau bagaimanapun, masyarakat diingatkan bahawa proses keadilan tidak berlaku secara automatik. Sesuatu kes memerlukan aduan rasmi, siasatan terperinci serta penilaian kukuh oleh pihak berkuasa sebelum sebarang pertuduhan boleh dikemukakan di mahkamah.
Menyentuh mengenai penglibatan ‘orang ketiga’ atau pemusnah rumah tangga, undang-undang syariah sememangnya mempunyai peruntukan khusus yang menyentuh mengenai perbuatan menghasut, mempengaruhi atau mengganggu hubungan suami isteri sehingga menyebabkan berlaku perceraian atau keretakan rumah tangga.
“Namun, tidak semua dakwaan terhadap orang ketiga secara automatik membolehkan mereka dibawa ke kandang tertuduh. Setiap kes mestilah disokong dengan bukti yang sahih dan dinilai berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkaitan,” jelasnya lagi.
Firma guaman itu turut memperbetulkan salah faham penularan istilah saman dan dakwa yang sering digunakan secara semberono oleh masyarakat awam.
Mengulas lanjut mengenai perbezaan tersebut, Liyanaco.law menyatakan bahawa pendakwaan biasanya merujuk kepada proses jenayah yang melibatkan pihak berkuasa dan mahkamah.
“Bagi tindakan sivil pula, saman atau tuntutan pula melibatkan proses seseorang menuntut hak mereka melalui saluran undang-undang yang tersedia,” ujarnya.
Dalam pada itu, mangsa dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan meluru mengikut emosi, seperti menyebarkan aib, mesej peribadi atau membuat tuduhan terbuka di media sosial kerana ia berisiko mencetuskan masalah undang-undang baharu.
“Sebaliknya, dapatkan nasihat undang-undang terlebih dahulu untuk memahami pilihan yang tersedia berdasarkan keadaan sebenar kes anda.
“Hak dan pilihan yang tersedia adalah bergantung sepenuhnya kepada fakta, bukti serta peruntukan undang-undang yang terpakai,” katanya. –Muslimah