Puasa jadikan wajah awet muda

Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga memberi manfaat besar kepada kesihatan tubuh termasuk kecantikan kulit.

Dalam Islam, puasa adalah ibadah yang mendidik jiwa dan mengawal nafsu, namun daripada sudut sains, amalan ini turut dikaitkan dengan proses peremajaan sel yang membantu individu tampak lebih segar dan awet muda.

Menurut perkongsian pakar perubatan, Dr. Siti Juariah Kusni, amalan berpuasa boleh meningkatkan hormon pertumbuhan dalam badan sehingga 1,250 peratus.

Hormon ini memainkan peranan penting proses pembaikan dan pembaharuan sel.

“Hormon pertumbuhan ini berfungsi merangsang penghasilan sel baharu. Apabila parasnya semakin meningkat, proses pembentukan sel termasuk sel kulit akan menjadi lebih aktif,” katanya.

Secara semula jadi, hormon pertumbuhan lebih tinggi ketika usia muda dan akan semakin berkurangan apabila meningkat dewasa. 

Namun, amalan berpuasa mampu merangsang pengeluarannya semula sekaligus membantu proses baik pulih tisu dan sel yang rosak.

Peranan sel stem meremajakan kulit

Dr. Siti Juariah turut menjelaskan tentang peranan sel stem, iaitu sel asas yang berfungsi menggantikan dan membaiki sel rosak dalam tubuh.

Apabila hormon pertumbuhan meningkat, aktiviti sel stem turut dirangsang. Ini bermakna proses pembentukan sel baharu berlaku dengan lebih cekap.

“Kulit secara semula jadi akan pulih apabila berlaku kerosakan. Tetapi apabila dirangsang oleh hormon pertumbuhan, proses regenerasi menjadi lebih cepat dan aktif,” katanya.

Kulit lebih segar dan sihat

Proses pembaharuan sel yang lebih aktif membantu kulit kelihatan lebih sihat, anjal dan berseri.

Selain itu, berpuasa juga memberi peluang kepada sistem pencernaan untuk berehat. Keadaan ini membantu mengurangkan beban toksin dalam badan yang boleh menyumbang kepada masalah kulit seperti kusam dan jerawat.

Bagaimanapun, untuk memperoleh manfaat maksimum, amalan berpuasa perlu disertai gaya hidup sihat. 

Antaranya memastikan pengambilan air mencukupi ketika sahur dan berbuka, menjaga pemakanan seimbang serta mengamalkan rutin penjagaan kulit yang konsisten.

Cantik luar dan dalam

Hakikatnya, kecantikan sebenar bagi seorang Muslimah bukan hanya terletak pada wajah yang berseri, tetapi juga hati yang tenang dan jiwa yang terpelihara. 

“Puasa mendidik kesabaran, mengawal emosi dan membersihkan hati daripada sifat negatif dan ketenangan inilah yang memancarkan seri sebenar,” katanya.-Muslimah

TAGGED: