Nasib wanita Islam yang diceraikan 

Apabila bercerai, ramai bapa memilih melepaskan tanggungjawab, memulakan kehidupan baharu dan membiarkan bekas isteri membesarkan anak sendirian. Sedangkan menafkahi anak kewajipan seorang bapa.

Bukan omong kosong sebaliknya beberapa wanita tampil berkongsi realiti ini. 

Faten antara yang berani berkongsi. Berpisah pada tahun 2020, selama dua tahun selepas itu, nafkah anak tunggalnya bergantung sepenuhnya kepada budi bicara bekas suami. Berapa jumlah yang diberi, itulah yang diterima.

“Dalam tempoh itu, saya menghabiskan semua simpanan yang ada demi kelangsungan hidup anak saya. Tinggal bersama ibu bapa memang rumah tidak bayar dan makan ditanggung tetapi malu lebih berat daripada beban kewangan. 

“Malu kerana terpaksa bergantung, malu kerana mengorek simpanan sendiri untuk membeli keperluan anak, malah membeli barang dapur untuk ibu bapa supaya mereka tidak terbeban sepenuhnya,” katanya kepada Muslimah.

Faten akhirnya memfailkan tuntutan nafkah pada 2022 sebanyak RM1,000, tetapi di Majlis Sulh, jumlah itu ditekan hingga menjadi RM450. 

Biarpun sudah ada perintah mahkamah, bekas suami tetap tidak mematuhinya. 

Bayaran dibuat ikut suka, kadangkala jauh lebih rendah daripada yang diarahkan. Pernah suatu ketika, hanya RM100 yang diterima. 

Ironinya jelas, perintah mahkamah wujud, tetapi tiada siapa memastikan ia dipatuhi. 

Begitupun, kata Faten, dia tidak pernah menganggap anak sebagai beban. 

Baginya, anak adalah amanah Tuhan. Tiada ibu yang tidak mahu memberi yang terbaik. Namun rasa tidak adil tetap menghimpit hati wanitanya.

Bekas suaminya hidup gembira dengan berkahwin baharu, mempunyai anak baharu dan kini menanggung keluarga baharu sepenuhnya, sedangkan anak bersamanya diabaikan. 

Bekas suaminya memberi alasan, manusia perlukan teman hidup. Tetapi persoalannya adakah anak tidak perlukan bapa?

Kisah Nurul pula berbeza daripada segi latar, tetapi luka yang sama tetap terasa. 

Sepanjang hampir dua tahun selepas perceraian, nafkah anak hampir tidak pernah diterima. 

Bekas suami mengatakan dia boleh dihubungi jika ada keperluan anak, tetapi setiap mesej berakhir dengan kekecewaan. 

Janji tinggal janji. Wang tunai hanya sekali diberikan berjumlah RM400 untuk barang sekolah anak sulung. Selebihnya, hanya beberapa kali susu dan lampin pakai buang dihantar.

Lebih menyedihkan, perceraian Nurul melibatkan keganasan dan kecurangan menyebabkan dia perlu melalui proses mahkamah hampir setahun. 

Dia terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur, meninggalkan anak-anak di bawah jagaan keluarga. 

Keletihan akhirnya membuatkan Nurul berhenti menuntut kerana terlalu penat untuk terus berjuang dalam sistem yang sepatutnya melindunginya.

Tahun pertama selepas bercerai, Nurul tidak bekerja. Segala keperluan anak-anak ditanggung oleh adik lelakinya. 

Dia bersyukur mempunyai keluarga yang menyokong, tetapi keletihan emosi tetap menghimpit. 

Kini, Nurul bekerja sebagai ejen hartanah dan mengambil upah tuisyen matematik. 

Rezekinya belum besar, tetapi dia tetap berusaha untuk menyediakan keperluan anak-anak. 

Bekas suami pula, sudahlah nafkah diberi sesuka hati, janji untuk bertemu anak-anak sering tinggal janji. Beri nafkah pun tidak, menjenguk apatah lagi.

Nurul memilih reda kerana anak-anak memerlukan seorang ibu yang bahagia dan stabil.

Kisah Faten dan Nurul bukan kes terpencil. Ia mencerminkan sistem yang longgar. Perintah mahkamah boleh diingkari tanpa akibat nyata. 

Selagi nafkah anak dianggap isu peribadi dan bukannya tanggungjawab yang wajib ditegakkan, wanita akan terus menanggung beban sendirian. 

Mereka menghabiskan simpanan, menahan malu, memerah tenaga dan emosi, semata-mata memastikan anak-anak tidak berasa kekurangan selepas bercerai.

Nafkah anak bukan bergantung pada budi bicara dan menjadi bapa bukan sekadar status di atas kertas atau alasan untuk membina keluarga baharu. 

Ia adalah tanggungjawab seumur hidup. Selagi hak ini tidak ditegakkan dengan serius, selagi itulah wanita akan terus membayar harga bagi kegagalan sistem melindungi mereka.-Muslimah