Suami jangan terlalu berkira bila isteri mengidam

Lumrah wanita mengandung, fasa mengidam bukan sekadar keinginan tekak semata-mata malah ada kalanya melibatkan emosi yang cukup sensitif. 

Namun, sebuah perkongsian yang tular di aplikasi Threads baru-baru ini benar-benar menyentuh hati warga maya apabila seorang wanita hamil dilihat seolah-olah dinafikan keinginan kecilnya oleh suami sendiri.

Kejadian yang berlaku di sebuah kedai serbaneka stesen minyak itu diceritakan semula oleh seorang pengguna media sosial yang menjadi saksi mata kepada situasi hiba tersebut.

Menurut saksi, wanita hamil itu dilihat sedang memegang sebatang coklat berjenama Cadbury yang harganya tidaklah mencecah RM15. Dengan nada yang cukup sopan dan penuh harapan, si isteri meminta izin suaminya untuk membeli coklat berkenaan.

Namun, jawapan yang diterima amat mengejutkan. Si suami bukan sahaja menolak, malah mengeluarkan kata-kata yang dianggap agak keras untuk didengari di khalayak ramai.

“Tak payah mengada-ngada la. Milo dekat rumah ada,” ujar si suami dengan nada yang menekan suara, menyebabkan wajah isterinya terus berubah menjadi sedih dan hiba.

Lebih menyedihkan, si isteri sanggup menawarkan untuk mengambil saiz yang lebih kecil asalkan keinginannya tercapai, namun tetap tidak dilayan oleh lelaki berkenaan.

Enggan membiarkan wanita berkenaan terus bersedih, saksi yang juga seorang wanita segera bertindak sebagai penyelamat. Tanpa berfikir panjang, dia mengambil coklat bersaiz besar dan terus membayarkannya di kaunter sebelum menyerahkannya kepada wanita hamil tersebut secara senyap-senyap.

“Akak ambik ini kak. Nanti baby nak makan kesian dia,” katanya dalam usaha menceriakan semula suasana.

Meskipun pada mulanya wanita hamil itu keberatan dan bimbang akan reaksi suaminya, dia akhirnya menerima dengan penuh rasa syukur. 

Lebih menyentuh hati, saksi tersebut sempat melihat wanita itu membisikkan ucapan terima kasih berkali-kali tanpa suara semasa dia menuju ke keretanya.- Muslimah