Syaaban adalah bulan penuh keberkatan dan bulan persiapan rohani sebelum Ramadan, di mana Rasulullah SAW banyak menghidupkan amalan mulia.
Walaupun kita kini berada di pertengahan bulan, belum terlambat untuk mengimarahkan bulan ini sebelum Ramadan tiba.
Setiap detik masih bernilai untuk memperbaiki diri, membersihkan hati dan menambah pahala.
Bagi Muslimah, bulan ini bukan sekadar tempoh menanti Ramadan, tetapi peluang latihan rohani untuk mendekatkan diri kepada Allah, menenangkan jiwa serta memperkukuh amalan.
Berikut beberapa amalan yang terlalu rugi jika dilepaskan di bulan Syaaban:
1. Perbanyakkan puasa sunat
Rasulullah SAW banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban. Amalan ini melatih fizikal, mental dan jiwa agar bersedia menghadapi Ramadan. Puasa sunat Isnin dan Khamis atau beberapa hari mengikut kemampuan membantu hati lebih tenang dan tubuh lebih mudah menyesuaikan diri.
2. Selesaikan ganti puasa
Bulan Syaaban adalah masa terbaik untuk menyelesaikan ganti puasa Ramadan yang tertunggak. Ramai yang menangguh kerana sibuk, padahal menyelesaikannya awal menjadikan hati lebih lapang. Boleh juga berpuasa tiga hari awal, tiga hari pertengahan dan tiga hari akhir bulan Sya’ban.
3. Perbanyakkan bacaan al-Quran
Ramadan adalah bulan al-Quran, tetapi bulan Syaaban adalah waktu untuk membiasakan diri dengan al-Quran. Membaca beberapa ayat setiap hari atau memahami terjemahannya memberi latihan hati dan minda agar lebih fokus beribadah ketika Ramadan.
4. Istighfar dan selawat
Membersihkan hati dari dosa dan mendekatkan diri kepada Rasulullah SAW adalah sangat penting. Amalkan istighfar berulang kali dan selawat, walaupun secara ringkas, kerana amalan ini ringan tetapi pahalanya besar.
5. Menjaga akhlak dan hubungan sesama manusia
Bulan Syaaban sesuai untuk memperbaiki lisan, akhlak dan hubungan. Meminta maaf, memaafkan, mengawal emosi dan menjaga percakapan adalah amalan yang tidak sama penting dengan ibadah fizikal.
6. Detoks diri
Syaaban adalah masa untuk detoks diri daripada perkara yang lagha seperti hiburan berlebihan atau media sosial yang tidak bermanfaat. Fokuskan masa kepada zikir, doa dan amalan kecil yang mendatangkan pahala.
7. Tetapkan niat dan sasaran Ramadan
Manfaatkan bulan Syaaban untuk menyusun sasaran ibadah. Tetapkan amalan yang ingin ditambah, tabiat buruk yang ingin ditinggalkan dan hubungan yang ingin diperbaiki. Persediaan ini akan memudahkan perjalanan Ramadan dengan lebih terarah dan bermakna.-Muslimah