Revolusi pembaharuan kulit yang lebih lembut dan mampan

Jenama penjagaan kulit dan estetik, ReGlo memperkenalkan ‘Skin Turnover Protocol’, sebuah sistem pembaharuan kulit yang direka untuk menyokong proses regenerasi semula jadi kulit secara lebih selamat, terkawal dan berterusan.

Pengasas ReGlo Lab, Nick Lim berkata, industri peremajaan kulit selama ini banyak bergantung kepada rawatan invasif atau agresif bagi menghasilkan perubahan yang ketara pada kulit.

“Kami mencabar pendekatan tersebut dengan membuktikan di mana kulit mampu memperbaharui dirinya melalui rangsangan yang konsisten dan terkawal.

“Ini membuka ruang kepada pendekatan yang lebih lembut dan mampan untuk pembaharuan kulit jangka panjang tanpa menjejaskan lapisan pelindung kulit,” katanya ketika majlis pelancaran perkenalan sistem tersebut di Petaling Jaya, semalam.

Tambahnya, secara semula jadi kulit manusia melalui proses pembaharuan sel secara berterusan. Namun, kebanyakan rawatan estetik masa kini masih memaksa pengguna memilih antara keberkesanan yang cepat atau keselesaan kulit dalam jangka panjang.

Oleh itu, Skin Turnover Protocol dibangunkan sebagai satu sistem menyeluruh yang memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu mengaktifkan proses pembaharuan kulit, meningkatkan penyerapan bahan aktif dan menyokong pemulihan lapisan pelindung kulit.

Melalui pendekatan tersebut, pengguna dapat menjalani proses pembaharuan kulit sebagai sebahagian daripada rutin harian tanpa perlu melalui tempoh pemulihan yang lazim dikaitkan dengan rawatan estetik berintensiti tinggi.

Selain itu, sistem berkenaan turut memanfaatkan teknologi mikrofiber dari Switzerland yang membantu proses eksfoliasi harian secara terkawal dan mengoptimumkan penyerapan bahan aktif ke dalam kulit.

Pada masa sama, menekankan aspek pemulihan dan penstabilan lapisan pelindung kulit ketika waktu rehat melalui sokongan kelembapan intensif dan pemulihan menyeluruh untuk memastikan kulit kekal seimbang dan selesa sepanjang proses pembaharuan berlaku. 

Pendekatan baharu itu dibangunkan berasaskan konsep ‘Aktif, Serap dan Stabil’ yang menyokong pembaharuan kulit secara konsisten setiap hari.

Protokol tersebut turut mendapat sokongan pakar kulit dan estetik yang berpandangan rawatan kulit yang berkesan perlu mengutamakan keselamatan serta kesihatan kulit dalam jangka panjang, selain memberikan hasil yang mampan kepada pengguna.-Muslimah