Keperitan seorang isteri yang sedang sarat mengandung terpaksa menelan pahitnya pengkhianatan rumah tangga menjadi tular di media sosial, sekali gus mengundang simpati yang mendalam dalam kalangan netizen.
Menerusi platform Threads, wanita yang dikenali sebagai Syaaa mendedahkan mahligai yang dibina atas dasar cinta kini hancur berkecai selepas suaminya menjalin hubungan sulit dengan wanita lain di saat dia amat memerlukan sokongan fizikal dan emosi.
Lebih meremukkan hatinya adalah apabila si suami bukan sahaja berpaling tadah, malah sanggup mengabaikan kebajikan dirinya yang sedang menghitung hari melahirkan zuriat mereka.
Mengimbas kembali detik hitam tersebut, perubahan ketara sikap suaminya mula dikesan sejak beberapa bulan lalu apabila lelaki itu sering memberikan alasan sibuk bekerja serta kerap pulang lewat malam.
“Lama-lama, dia berhenti bagi duit nafkah sara hidup dan persiapan kelahiran anak juga dia tidak ambil peduli.
“Saya terpaksa mengikat perut menahan lapar demi memastikan anak dalam kandungan ini selamat sampai kadang-kadang terpaksa menebalkan muka bergantung kepada ihsan serta belas kasihan ahli keluarga sendiri,” katanya.
Kemuncak kesedihannya berlaku apabila dia terserempak suaminya sedang melayani kekasih gelapnya dengan begitu mewah di sebuah pusat beli-belah.
Sikap pilih kasih dan pengabaian emosi yang melampau itu hampir membuatkannya berputus asa dengan kehidupan, memandangkan dia sering ditinggalkan bersendirian di rumah dalam keadaan sarat tanpa sebarang khabar berita.
“Bila sudah kantoi, dia langsung tiada rasa menyesal dan terus salahkan saya sebab saya tidak jaga keperluan batinnya sepanjang tempoh mengandung.
“Selepas itu, dia terus keluar rumah dan biarkan saya hidup sendiri sementara menunggu hari kelahiran anak kami,” katanya.
“Saya reda dengan ujian ini tetapi saya tidak akan membiarkan anak di dalam kandungan ini membesar dalam persekitaran yang toksik dan dipenuhi kezaliman.
“Cukuplah air mata ini mengalir, kini masanya untuk saya bangkit demi maruah diri dan masa depan anak yang bakal lahir,” katanya.
Wanita itu kini dalam proses mengumpul bukti yang kukuh dan telah mendapatkan khidmat nasihat perundangan syariah.
Tindakan lanjut akan diambil di Mahkamah Syariah bagi menuntut haknya termasuk permohonan fasakh bagi pembubaran perkahwinan, selain tuntutan nafkah tertunggak dan hak penjagaan anak (hadanah) sebaik sahaja selamat melahirkan kelak. –Muslimah