Realiti yang masih membelenggu wanita

Bagi sesetengah pihak, harga tuala wanita mungkin dianggap kecil. Namun bagi keluarga berpendapatan rendah yang perlu menanggung sewa rumah, perbelanjaan dapur, persekolahan anak dan kos pengangkutan, keperluan tersebut boleh menjadi satu beban kewangan berterusan.

Realiti itu dapat dilihat dalam kalangan penduduk di Flat PKNS Taman Dato’ Harun, Petaling Jaya apabila ada ibu-ibu berkongsi kebimbangan yang sama iaitu kos pembelian tuala wanita yang perlu ditanggung setiap bulan. 

Dengan harga sekitar RM10 hingga RM12 bagi setiap pek, jumlah tersebut mungkin kelihatan tidak membebankan pada pandangan sesetengah pihak. Namun bagi keluarga berpendapatan rendah, ia menjadi satu lagi tekanan kewangan yang perlu dihadapi. 

Prihatin dengan keadaan tersebut, Taylor’s University menerusi Eradicating Poverty Impact Lab bersama Rotary E-Club of One Kuala Lumpur dan Rotary Club of Kajang melaksanakan program Empowering Women for Sustainability: Skills Development and Training in Reusable Sanitary Pad Production.

Program itu bukan sekadar memberi bantuan jangka pendek melalui produk kebersihan wanita, sebaliknya melatih wanita menghasilkan tuala wanita guna semula untuk kegunaan sendiri dan keluarga.

Tuala wanita guna semula

Seramai 10 wanita daripada komuniti tersebut menyertai latihan berkenaan dan kebanyakan mereka pertama kali menggunakan mesin jahit.

Meskipun berdepan cabaran pada peringkat awal, sesi latihan berlangsung dalam suasana penuh sokongan dan semangat kebersamaan.

Menjelang akhir sesi perintis, sebanyak 1,000 tuala wanita guna semula berjaya dihasilkan hasil usaha dan kerjasama komuniti tersebut.

Tuala wanita guna semula yang dijaga dengan baik mampu bertahan sehingga setahun sekali gus membantu mengurangkan kos bulanan keluarga.

Lebih penting, wanita-wanita ini tidak lagi hanya bergantung kepada bantuan berterusan. Mesin jahit yang disediakan menerusi projek tersebut kekal ditempatkan di dewan komuniti bagi membolehkan mereka terus menghasilkan tuala wanita selain meneroka peluang menjahit untuk menambah pendapatan.

Perubahan kecil membawa makna besar

Sesi latihan itu turut membuka ruang perbincangan mengenai kesihatan haid dan penjagaan diri wanita.

Ramai peserta mengakui itu merupakan kali pertama mereka dapat berbincang mengenai isu haid secara terbuka tanpa rasa malu.

Apabila wanita memahami kesihatan diri dengan lebih baik dan mempunyai akses kepada keperluan asas, mereka lebih yakin serta mampu mengurus kehidupan dengan lebih tenang.

Selain itu, Ketua Persatuan Warisan Kraf Wanita PKNS Taman Dato’ Harun, Mimi Zairol Mohamad Nor berkata, program itu bukan sahaja memberi sokongan praktikal kepada wanita, malah berjaya mengeratkan hubungan dalam komuniti mereka.

“Melalui inisiatif ini, wanita dalam komuniti kami dapat berkumpul bersama. Mereka mempelajari kemahiran baharu, berkongsi pengalaman dan menyedari mereka tidak berdepan cabaran ini sendirian.

“Apabila wanita saling menyokong, seluruh komuniti menjadi lebih kuat,” katanya.

Biarpun inisiatif tersebut mungkin tidak dapat menyelesaikan isu kemiskinan haid secara menyeluruh dalam tempoh singkat, ia membuktikan perubahan besar boleh bermula melalui usaha kecil yang digerakkan bersama komuniti.

Program itu bukan sahaja membantu dari sudut akses kepada produk kebersihan wanita, malah turut memperkasa wanita untuk berdikari.-Muslimah