Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 15 hari lalu, ditemui dalam keadaan selamat hari ini.
Menurut laporan Utusan Malaysia, maklumat penemuan mangsa itu disahkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Alwi Zainal Abidin.
Jaslinda ditemui oleh penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu Pos Musoh yang kemudian menghubungi pihak berkuasa.
Terdahulu, tular gambar dipercayai memaparkan Jaslinda berada di sebuah rumah komuniti di kawasan berkenaan.
Penemuan itu sekaligus menamatkan operasi SAR sejak 25 Mei lalu selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.-Muslimah