Hukum lelaki mengahwini wanita mirip ibu

Dalam kehidupan seorang lelaki, ibu merupakan insan pertama yang menghadirkan rasa kasih sayang, kelembutan dan ketenangan dalam hidup mereka.

Jadi, tidak hairan apabila ada lelaki yang cenderung tertarik kepada wanita yang mempunyai wajah, suara atau sifat yang mengingatkan mereka kepada ibu sendiri.

Namun, ada juga yang tertanya-tanya sama ada perkara tersebut dibenarkan dalam Islam atau sebaliknya.

Menurut hantaran di media sosial daripada penceramah dan penulis buku, Ustazah Husna Ghani, Islam tidak melarang seorang lelaki memilih pasangan yang mempunyai persamaan dengan ibunya sama ada daripada sudut rupa paras, kelembutan mahupun keperibadian.

“Rasa selesa terhadap seseorang kerana mengingatkan kepada kasih sayang seorang ibu bukanlah sesuatu yang salah dalam syariat,” katanya.

Jika seorang lelaki memilih wanita yang mirip ibunya kerana rasa tenang dan selesa, perkara tersebut dibolehkan selagi wanita itu halal untuk dinikahi.

“Tiada masalah selagi wanita tersebut halal untuk dinikahi,” katanya.

Menurutnya, Islam hanya melarang perkahwinan dengan wanita yang termasuk dalam golongan haram dikahwini seperti mempunyai hubungan nasab atau pertalian susuan. 

Persamaan daripada segi wajah atau sifat pula tidak menjadikan sesuatu hubungan haram.

Jangan keliru dengan konsep zihar 

Tambah Ustazah Husna, masyarakat sering keliru antara situasi tersebut dengan konsep zihar dalam Islam.

Katanya, zihar berlaku apabila seorang suami menyamakan anggota badan isterinya dengan wanita mahram seperti ibu kandung sendiri.

Perbuatan itu merupakan dosa besar dan dilarang dalam Islam kerana melibatkan penyamaan yang tidak sepatutnya terhadap wanita mahram.

“Ini yang haram kerana melibatkan penyamaan anggota badan wanita mahram dengan isteri,” katanya.

Perkongsian Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan antara cara terpenting untuk menghilangkan kerisauan dan kekeliruan terhadap isu zihar adalah memahami berkenaan lafaz-lafaz zihar. 

Secara asasnya, lafaz zihar mempunyai dua bahagian iaitu lafaz yang sarih (jelas) dan juga kinayah (kiasan).

Lafaz yang sarih seperti: ‘’Kamu ke atasku seperti bahagian belakang ibuku’’. Demikian juga ungkapan seperti: ‘’Kamu ke atasku seperti perut ibuku’’ atau seperti kepalanya atau farajnya, atau seumpama dengannya. 

Begitu juga dengan ucapannya: ‘’Faraj kamu atau kepala kamu, perut kamu atau kaki kamu, ke atas diriku sama seperti bahagian belakang ibu aku’’. Maka orang yang mengucapkan ini telah melakukan zihar.

Lafaz kinayah pula, ungkapan seorang suami kepada isterinya: ‘’Kamu ke atasku seperti ibuku, atau seumpama ibuku’’. 

Hukum bergantung kepada niat. Jika seseorang berniat melakukan zihar ketika mengucapkannya, maka ia dikira zihar. Jika tidak berniat demikian, maka ia tidak dianggap zihar menurut Imam al-Syafie dan Imam Abu Hanifah. 

Individu yang melakukan zihar juga dikenakan kaffarah sebagai pengajaran supaya menjaga percakapan terhadap pasangan.

Antara kaffarah yang diwajibkan ialah berpuasa selama dua bulan berturut-turut atau memberi makan kepada 60 orang miskin sekiranya tidak mampu melaksanakan pilihan lain yang ditetapkan syarak.

Hukum tersebut sangat berbeza dengan sekadar tertarik kepada wanita yang mempunyai sifat lembut, penyayang dan menenangkan seperti seorang ibu.

Kesimpulannya, perkara yang lebih penting ialah akhlak, kasih sayang serta cara pasangan saling menghormati antara satu sama lain dalam mengemudi bahtera perkahwinan.

“Kadang-kadang seseorang tertarik dengan sifat lembut dan penyayang yang mengingatkannya kepada ibu. Itu fitrah manusia dan tidak salah dalam Islam,” katanya.-Muslimah