Rumah tangga musnah gara-gara office wife

Ramai menganggap hubungan rapat dengan rakan sekerja hanyalah perkara normal, lebih-lebih lagi apabila menghabiskan sebahagian besar masa bersama di tempat kerja.

Namun bagi sesetengah pasangan, keakraban yang tidak terkawal boleh membawa kepada pengkhianatan yang meninggalkan kesan mendalam.

Perkongsian seorang wanita di platform Threads, @agliomalio, baru-baru ini mengundang perhatian ramai apabila dia mendakwa rumah tangganya musnah akibat hubungan sulit bekas suaminya dengan seorang rakan sekerja yang digelar sebagai office wife.

“Pengkhianatan itu bukan sahaja meruntuhkan perkahwinan yang kami bina, malah meninggalkan luka ketika saya sedang hamil, melahirkan anak dan melalui proses perceraian seorang diri,” luahnya.

Pada awalnya, dia menyangka perubahan sikap suaminya berpunca daripada tekanan hidup dan masalah kesihatan mental yang sedang dihadapi.

Namun selepas pelbagai perkara terbongkar, dia mendakwa kemurungan lelaki itu sebenarnya berkait dengan hubungan sulit bersama seorang rakan sekerja.

“Saya yang teman dia keluar masuk hospital, dan saya yang ada ketika dia sakit. Rupanya dia sedang berdepan konflik dengan skandal sendiri,” luahnya.

Menurutnya, sepanjang tempoh perkahwinan, dia tetap berusaha mempertahankan rumah tangga walaupun berdepan pelbagai ujian termasuk tekanan emosi dan rasa kecewa yang berpanjangan.

Lebih menyedihkan, dia mendakwa terpaksa menguruskan anak kecil bersendirian ketika berada dalam keadaan fizikal dan emosi yang tidak stabil selepas bersalin.

Istilah office wife dan office husband sering digunakan untuk menggambarkan hubungan yang terlalu rapat antara rakan sekerja sehingga mereka dilihat seperti pasangan di tempat kerja.

Walaupun sering dianggap gurauan, hubungan seperti itu boleh menjadi tidak sihat apabila melibatkan perkongsian emosi, perhatian dan kebergantungan yang sepatutnya diberikan kepada pasangan sendiri.

Bagi wanita itu, luka akibat pengkhianatan bukan sekadar kehilangan pasangan, tetapi turut memberi kesan kepada anak dan ahli keluarga yang lain.

Di akhir perkongsiannya, dia mengingatkan pasangan suami isteri agar tidak memandang ringan hubungan yang terlalu rapat dengan rakan sekerja sehingga mengabaikan batas yang ditetapkan.