Hukum solat Jamak dan Qasar yang ramai terlepas pandang

Kelonggaran bagi seorang musafir untuk melakukan solat Jamak dan Qasar akan terbatal serta-merta apabila mereka tiba di mana-mana kediaman yang dikira sebagai watan (tempat tinggal tetap) walaupun individu tersebut bekerja atau menyewa di negeri yang berbeza.

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, watan bermaksud tempat tinggal atau tempat seseorang menetap yang dinisbahkan kepadanya sebagai tempat kediaman utama.

“Situasi ini kerap menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat terutamanya bagi individu yang mempunyai lebih daripada satu tempat tinggal atas faktor tuntutan kerjaya dan keluarga,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli memetik pandangan para ulama daripada kitab Rujuk al-Fatawa al-Kubra al-Fihiyyah yang menyatakan secara jelas mengenai keutamaan kedudukan tempat tinggal keluarga.

“Jika keluarganya berada di satu negeri dan hartanya berada di negeri yang lain, maka yang diambil kira ialah tempat keluarganya berada,” jelasnya.

Hujah itu turut disokong oleh pandangan Imam al-Nawawi yang menyebut apabila seseorang yang sedang bermusafir melalui atau sampai ke watannya, maka secara automatik terputuslah segala rukhsah musafir tersebut tanpa sebarang khilaf.

Oleh itu, bagi golongan pekerja yang merantau tetapi mempunyai isteri dan anak-anak yang menetap di kampung halaman atau rumah sendiri, kediaman keluarga tersebut tetap memegang status sebagai watan mereka.

“Apabila sampai ke sana, gugurlah hukum musafir dan hendaklah menunaikan solat secara sempurna,” katanya menerusi hantaran di platform media sosialnya baru-baru ini.

Bagi memberikan kefahaman yang lebih jelas, Dr. Zulkifli berkongsi satu contoh melibatkan seorang individu bernama Syakir yang bekerja sebagai guru dan menyewa sebuah rumah di Kuala Lumpur.

Isteri dan anak-anak Syakir pula menetap di sebuah rumah yang dibeli olehnya di Melaka. Atas faktor tersebut, Syakir akan pulang ke Melaka pada setiap hujung minggu selama dua hari untuk meluangkan masa bersama keluarganya.

“Jawapannya, apabila Syakir sampai ke rumahnya di Melaka, dia tidak lagi dianggap sebagai musafir kerana rumah tersebut merupakan watan baginya. 

“Oleh itu, dia tidak boleh melakukan solat Qasar dan tidak boleh menjamakkan solat kerana sebab musafir,” katanya.-Muslimah