Ramai wanita menganggap masalah seperti sakit lutut, tumit, sendi dan badan yang mudah lenguh hanya perkara biasa akibat penat bekerja atau kurang rehat.
Sedangkan, keadaan tersebut mungkin berkait dengan kekurangan vitamin D yang juga merupakan isu kesihatan membimbangkan dalam kalangan wanita di Malaysia.
Menerusi perkongsian Public Health Malaysia, sekitar 60 hingga 70 peratus wanita Malaysia pada tahun 2024 dipercayai mengalami masalah kekurangan vitamin D.
Masalah itu dilihat lebih ketara dalam kalangan wanita yang tinggal di kawasan bandar kerana gaya hidup moden menyebabkan ramai lebih banyak berada di dalam bangunan dan kurang terdedah kepada cahaya matahari.
Kekurangan vitamin D bukan isu kecil kerana ia boleh memberi kesan kepada kesihatan tulang, otot dan sistem imun tubuh jika berpanjangan.
Sementara itu, menurut perkongsian di media sosial pegawai perubatan, Dr. Jammy Suzana Abdullah Adnan, ramai wanita sebenarnya tidak menyedari simptom sakit badan yang dialami mungkin berkait dengan kekurangan vitamin D atau kalsium.
“Vitamin D banyak diperoleh daripada cahaya matahari, tetapi kebanyakan wanita sekarang kurang terdedah kepada matahari kerana lebih banyak berada di dalam bangunan selain penggunaan pelindung matahari dan pakaian yang menutupi kulit,” katanya.
Krim pelindung matahari tetap penting
penggunaan pelindung matahari serta kurangnya permukaan kulit yang terdedah kepada cahaya matahari boleh mempengaruhi penghasilan vitamin D dalam tubuh.
Bagaimanapun, bukan bermaksud wanita perlu berhenti menggunakan pelindung matahari kerana perlindungan kulit daripada sinaran UV tetap penting untuk kesihatan kulit.
Sebaliknya, keseimbangan diperlukan antara penjagaan kulit dan keperluan tubuh untuk mendapatkan vitamin D secara semula jadi.
Vitamin D penting untuk tubuh
Vitamin D bukan sahaja penting untuk kesihatan tulang dan otot, malah turut membantu menyokong fungsi sistem imun serta kesejahteraan tubuh secara keseluruhan.
Menurut Dr. Jammy Suzana, antara tanda yang sering dikaitkan dengan kekurangan vitamin D termasuk badan mudah letih, sakit otot dan sendi, lemah otot serta mudah lesu.
Selain itu, terdapat juga individu yang mengalami rambut gugur berlebihan, luka lambat sembuh serta kerap mengalami demam dan selsema.
Begitupun, kekurangan vitamin D tidak boleh dipastikan melalui simptom semata-mata kerana hanya boleh disahkan melalui ujian darah serum 25(OH)D.
“Ramai wanita mengalami simptom tetapi tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui tahap sebenar vitamin D dalam tubuh,” katanya.
Boleh diperoleh melalui makanan dan cahaya matahari
Selain cahaya matahari, vitamin D juga boleh diperoleh melalui pemakanan seperti ikan berlemak termasuk salmon, sardin dan tuna, selain kuning telur dan susu yang diperkaya dengan vitamin D.
Wanita juga disarankan mendapatkan pendedahan cahaya matahari sekitar 10 hingga 30 minit, dua hingga tiga kali seminggu. Sebaiknya sebelum jam 10 pagi atau selepas jam 4 petang.
Pendedahan tersebut boleh dilakukan dengan mendedahkan bahagian tangan atau kaki tanpa krim pelindung matahari untuk tempoh singkat mengikut kesesuaian.
“Jika simptom berpanjangan, lakukan pemeriksaan dan dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang suplemen supaya dos yang diambil sesuai dengan keperluan tubuh,” katanya.-Muslimah