Teknik kenali karakter wajah sebelum berhias

Pernahkah anda mencuba gaya solekan yang tular di media sosial, namun hasilnya membuatkan wajah anda kelihatan ‘tenggelam’ atau lebih tua daripada usia sebenar?

Atau mungkin anda memakai busana dengan motif bungaan besar tetapi rasa kurang sesuai walaupun jenama yang mahal?

Jawapannya bukan terletak pada kualiti produk atau jenama busana tetapi pada satu konsep seni iaitu berat visual (visual weight).

Apa itu berat visual?

Secara teknikal, berat visual adalah ukuran sejauh mana fitur wajah atau penampilan individu menarik perhatian mata yang memandang.

Dalam dunia kecantikan, berat visual ini terbahagi kepada dua kategori iaitu berat visual tinggi dan berat visual rendah.

Memahami kategori anda adalah rahsia tampil lebih harmoni tanpa perlu bereksperimen secara membuta tuli.

Berat visual tinggi

Individu dalam kategori ini biasanya memiliki struktur tulang wajah yang menonjol dan fitur yang ‘besar’ atau tajam.

Ciri-ciri: Tulang pipi tinggi, hidung mancung, bibir penuh atau mata yang besar dan dalam.

Solekan: Wajah jenis ini sangat serasi dengan solekan berani (bold). Gincu merah menyala atau teknik contouring yang tajam tidak akan nampak keterlaluan malah menyerlahkan lagi aura sofistikated.

Fesyen: Anda mampu menggayakan aksesori bersaiz mega dan helaian pakaian dengan tekstur yang berat tanpa nampak ‘tenggelam’.

Berat visual rendah

Kategori ini merujuk kepada mereka yang memiliki fitur wajah lebih kecil, halus dan harmoni. Ruang antara fitur wajah biasanya lebih luas, memberikan kesan yang lebih ‘muda’ dan tenang.

Ciri-ciri: Mata yang lebih kecil atau kuyu, bibir nipis dan garis rahang yang lebih lembut/bulat.

Solekan: Teknik No-Makeup Makeup Look adalah sahabat baik anda. Penggunaan warna-warna pastel, lip tint dan kemasan berkilau akan menaikkan seri wajah tanpa menutup keindahan semula jadi. Solekan yang terlalu tebal hanya akan membuatkan wajah anda nampak ‘sesak’.

Fesyen: Pilih corak yang lebih kecil (seperti polka dot halus atau bunga kecil) dan potongan fabrik yang jatuh ringkas pada tubuh.

Tujuan mengenal pasti berat visual bukanlah untuk mengehadkan kreativiti tetapi sebagai panduan untuk mencapai keseimbangan.

Jika anda memiliki karakter wajah berat visual rendah yang ingin memakai gaya berani, pastikan anda tidak melakukannya secara berlebihan pada semua bahagian.

Sebaliknya, pilih satu titik tumpu. Contohnya hanya gincu merah dengan solekan mata yang minimal.

Kecantikan sebenar bukan tentang mengikut trend semata-mata tetapi cara kita menterjemah seni pada wajah dengan penuh kreativiti. -Muslimah