Sambutan Hari Ibu sentiasa menjadi antara hari yang dinantikan setiap tahun kerana memberi ruang kepada anak-anak menzahirkan kasih sayang dan penghargaan terhadap insan yang telah melahirkan serta membesarkan.
Melalui sambutan itu, pelbagai bentuk penghargaan diberikan sama ada dalam bentuk hadiah, ucapan mahupun luangan masa bersama keluarga sebagai tanda mengenang jasa dan pengorbanan seorang ibu.
Namun, dalam kerangka Islam, timbul persoalan sejauh mana sambutan tersebut selari dengan prinsip syariah dan apakah batas yang perlu difahami umat Islam agar tidak terkeluar daripada landasan agama?
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Mohd Sukki Othman berkata, Islam sememangnya agama yang sangat menitikberatkan penghormatan kepada ibu bapa, khususnya ibu yang menanggung beban kehamilan, melahirkan anak serta membesarkan mereka dengan penuh kesabaran.
Menurutnya, para ulama menilai isu sambutan Hari Ibu berdasarkan prinsip yang terdapat dalam al-Quran dan hadis serta disiplin fiqh yang melihat sesuatu adat perlu diteliti daripada sudut tujuan, cara pelaksanaan dan implikasinya.
“Dalam Islam, sambutan Hari Ibu tidak boleh dinilai secara mutlak sama ada diterima atau ditolak sepenuhnya.
“Pada asasnya, sesuatu amalan adat atau kebiasaan masyarakat adalah harus selagi tidak bercanggah dengan syarak, selaras dengan kaedah fiqh bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus,” katanya kepada Muslimah.
Tambahnya, sambutan Hari Ibu boleh dianggap harus sekiranya ia sekadar medium untuk menzahirkan kasih sayang, menghargai pengorbanan ibu serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Dalam konteks ini, ia tidak lebih daripada satu bentuk adat yang boleh dimanfaatkan sebagai ruang dakwah untuk mengingatkan masyarakat tentang kewajipan berbakti kepada ibu bapa,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat beberapa batas penting yang perlu diberi perhatian agar sambutan tersebut tidak tersasar daripada tuntutan agama.
Katanya, sambutan itu tidak boleh membawa kepada persepsi penghormatan kepada ibu hanya terbatas pada satu hari tertentu sahaja kerana Islam menolak pendekatan bermusim dalam perkara yang bersifat kewajipan.
“Jika sambutan ini menyebabkan seseorang lalai daripada tanggungjawab harian terhadap ibu, maka ia telah menyimpang daripada tujuan asalnya,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan agar sambutan Hari Ibu tidak dicemari unsur yang bercanggah dengan syariah seperti pembaziran melampau, percampuran bebas tanpa batas serta peniruan amalan yang bertentangan dengan nilai Islam.
Aspek akidah juga perlu dijaga supaya sambutan tersebut tidak disertai kepercayaan atau simbolik yang bercanggah dengan tauhid.
“Ia mesti kekal sebagai satu amalan sosial yang neutral dan tidak melibatkan unsur ritual keagamaan selain Islam,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sambutan hari ibu juga boleh dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh institusi kekeluargaan yang semakin teruji dalam masyarakat hari ini.
Katanya, dengan pendekatan yang betul, sambutan itu mampu menjadi platform untuk menghidupkan semula nilai kasih sayang, penghargaan dan tanggungjawab terhadap ibu bapa.
“Namun tanpa panduan yang jelas, ia berpotensi menjadi sekadar simbolik kosong yang tidak memberi kesan sebenar kepada pembentukan akhlak,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan Islam tidak menolak sambutan Hari Ibu selagi ia berada dalam batas yang diharuskan syarak.
“Lebih utama ialah memastikan nilai berbakti kepada ibu tidak terhad kepada satu hari sahaja, sebaliknya menjadi amalan berterusan dalam kehidupan seharian,” katanya. –Muslimah