Urutan penjagaan kulit untuk hasil maksimum

Lambakan produk penjagaan kulit di pasaran hari ini membuatkan ramai wanita semakin peka tentang kepentingan merawat wajah.

Namun, masih ramai yang menggunakan pelbagai produk tanpa mengetahui urutan yang betul, sekali gus menyebabkan hasil yang diharapkan tidak tercapai.

Hakikatnya, bukan sekadar jenis produk yang penting, tetapi cara dan susunan pemakaiannya juga memainkan peranan dalam memastikan bahan aktif dapat menyerap dengan baik ke dalam kulit.

Kulit merupakan organ terbesar dalam tubuh manusia dan terdedah setiap hari kepada pelbagai faktor luaran seperti cahaya matahari dan pencemaran.

Tanpa penjagaan yang konsisten, lapisan pelindung kulit boleh terjejas, sekali gus menyebabkan masalah seperti kekeringan, jerawat dan tona tidak sekata.

Secara asasnya, produk penjagaan kulit perlu digunakan mengikut turutan daripada tekstur paling ringan kepada paling pekat. 

Langkah ini penting supaya setiap lapisan dapat menyerap dengan baik tanpa dihalang oleh produk yang lebih tebal.

Berikut merupakan urutan penjagaan kulit yang boleh diamalkan pada waktu pagi dan malam.

Rutin pagi untuk lindungi kulit

Cuci muka sebagai langkah pertama

Mulakan dengan pencuci muka yang lembut untuk menyingkirkan peluh, minyak dan kotoran yang terkumpul sepanjang malam. Pilih pencuci yang sesuai dengan jenis kulit bagi mengelakkan kekeringan atau iritasi.

Gunakan toner untuk seimbangkan kulit

Toner membantu membersihkan sisa kotoran yang masih tertinggal serta menyediakan kulit untuk langkah seterusnya. Terdapat pelbagai jenis toner seperti yang melembapkan, mencerahkan dan membantu pengelupasan ringan.

Sapukan serum mengikut keperluan

Serum mengandungi bahan aktif untuk membantu masalah kulit seperti jerawat, kusam atau kering. Jika menggunakan lebih daripada satu serum, sapukan yang paling ringan dahulu dan beri masa untuk ia meresap.

Gunakan pelembap

Pelembap penting untuk memastikan kulit kekal lembap sepanjang hari. Kulit berminyak sesuai dengan pelembap berasaskan air, manakala kulit kering memerlukan tekstur yang lebih kaya.

Akhiri dengan pelindung matahari

Sunscreen perlu digunakan setiap hari walaupun cuaca mendung, Ia melindungi kulit daripada sinaran UV yang boleh menyebabkan penuaan pramatang dan masalah pigmentasi. Sapuan semula setiap dua jam digalakkan.

Rutin malam untuk pemulihan kulit

Tanggalkan solekan dengan sempurna

Solekan perlu dibersihkan terlebih dahulu menggunakan penanggal khas, air micellar atau teknik ‘double cleanse’ supaya tiada sisa tertinggal.

Cuci muka seperti biasa

Selepas menanggalkan solekan, cuci muka menggunakan air suam. Elakkan air terlalu panas kerana boleh mengeringkan kulit.

Gunakan toner

Toner membantu menenangkan kulit selepas pembersihan dan menyediakan kulit untuk rawatan seterusnya.

Sapukan serum atau rawatan khusus

Waktu malam sesuai untuk menggunakan bahan aktif seperti retinol atau serum pengelupasan. Namun, elakkan penggunaan terlalu banyak bahan aktif dalam satu masa bagi mengelakkan iritasi.

Akhiri dengan pelembap atau masker malam

Gunakan pelembap untuk mengunci kelembapan. Bagi tambahan hidrasi, masker malam boleh digunakan untuk membantu kulit pulih ketika tidur.

Walaupun terdapat pelbagai produk di pasaran, hasil terbaik hanya dapat dicapai melalui rutin yang konsisten dan sesuai dengan jenis kulit. –Muslimah