Menjauh dengan ibu kerana luka lama, adakah itu tanda derhaka?

Layanan tidak seimbang antara anak lelaki dan perempuan masih kerap berlaku dalam masyarakat.

Tanpa disedari, sikap pilih kasih ini meninggalkan kesan emosi yang berpanjangan, khususnya kepada anak perempuan.

Ada yang membesar dalam keadaan kasih sayang tidak dirasai sepenuhnya apabila ibu bapa lebih memberi keutamaan kepada anak lelaki, manakala anak perempuan sekadar ‘menerima seadanya’.

Keadaan ini menjadikan mereka tidak berani meluahkan perasaan atau berkongsi cerita seperti kebanyakan anak perempuan lain yang rapat dengan ibu.

Segala rasa dipendam sendiri sehingga menjadi luka yang terbawa-bawa ke alam dewasa.

Apabila mendirikan rumah tangga, situasi ini berubah apabila suami menjadi individu yang memberi perhatian, penghargaan dan ruang untuk merasa disayangi.

Tanpa sedar, perasaan selesa itu menyebabkan wanita lebih cenderung berkongsi emosi dengan suami berbanding ibu sendiri. 

Malah, timbul rasa berat untuk pulang ke rumah atau berjumpa ibu, terutama apabila kenangan lama kembali menghantui.

Ada juga yang mempersoalkan diri, mengapa hubungan dengan ibu bapa tidak semesra wanita lain yang boleh berbual, menangis dan memeluk tanpa rasa kekok?

Lebih meresahkan, timbul persoalan dalam hati adakah perasaan ini tanda derhaka?

Reaksi emosi lampau

Menurut ketua pegawai operasi inisiatif Anjung Insyirah PACU, Ustazah Syifa’ Sarip, perasaan tersebut bukanlah petanda anak menjadi derhaka, sebaliknya ia adalah reaksi emosi seseorang yang mencari tempat selamat untuk dirinya.

“Kasih kepada suami dan kasih kepada ibu adalah dua bentuk yang berbeza kerana peranan kedua-duanya juga berbeza,” katanya kepada Muslimah.

Katanya, selepas berkahwin, suami secara fitrah menjadi tempat perlindungan dan ketenangan buat isteri, sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Quran.

Justeru, apabila seorang isteri berasa lebih dekat dan selesa dengan suami, ia bukan satu kesalahan, sebaliknya sebahagian daripada aturan kehidupan yang telah ditetapkan.

Ibu tetap di kedudukan tertinggi

Begitupun, kedudukan ibu tetap tidak boleh disangkal.

Sehebat mana pun kekurangan seorang ibu, hakikatnya dia adalah insan yang mengandungkan dan melahirkan anak dengan penuh pengorbanan.

Islam juga menegaskan kepentingan berbuat baik kepada ibu bapa dalam apa jua keadaan.

“Dalam hal ini, terdapat tiga perkara penting yang perlu difahami. Kasih kepada suami dan ibu adalah berbeza, tidak boleh dibandingkan, namun kedua-duanya tetap wajib dijaga,” katanya.

Seimbangkan hubungan, rawat luka perlahan-lahan

Perasaan rindu kepada ibu walaupun hubungan tidak rapat sebenarnya tanda hati masih lembut. Ia bukan kelemahan, sebaliknya satu nikmat yang perlu dihargai.

Bagi isteri yang berdepan situasi ini, keseimbangan adalah kunci utama.

“Jika tidak mampu menjadi rapat seperti orang lain, hubungan masih boleh dipelihara melalui cara yang sederhana seperti bertanya khabar atau menghantar mesej ringkas sebagai tanda ingatan,” katanya.

Tambahnya, dalam masa sama cuba hargai suami yang menjadi tempat bergantung daripada sudut emosi dan kasih sayang.

Paling penting, lepaskan rasa bersalah. Perasaan mencari kasih sayang bukan satu dosa, tetapi  fitrah manusia.-Muslimah