Hukum dahi berlapik telekung ketika sujud

Kedudukan dahi ketika sujud bukan sekadar gerakan fizikal dalam solat, sebaliknya rukun penting yang menentukan sah atau tidak ibadah seseorang.

Ramai wanita tidak menyedari telekung yang menutup dahi ketika sujud boleh menjejaskan kesempurnaan dan sah dalam solat.

Situasi ini kerap berlaku apabila memakai telekung hingga menutupi sebahagian dahi atau kain telekung melebar di atas sejadah hingga menghalang sentuhan terus ke tempat sujud.

Menurut perkongsian di media sosial oleh Ustazah Asma’ Harun, sujud yang sah mensyaratkan sekurang-kurangnya sebahagian dahi menyentuh tempat sujud tanpa halangan yang bersambung dengan tubuh serta bergerak mengikut pergerakan orang yang solat.

“Dalam mazhab Syafi‘i, jika seseorang sujud di atas sesuatu yang bersambung dengannya seperti pakaian, serban atau telekung dan ia bergerak mengikut pergerakan badan, maka sujud tersebut tidak sah. 

“Jika dilakukan dengan sengaja serta mengetahui hukum, solat boleh terbatal. Namun, jika berlaku dalam keadaan terlupa atau tidak tahu, solat tidak batal tetapi wajib mengulangi sujud tersebut,” katanya.

Tambahnya, sujud merupakan rukun yang perlu dilakukan secara sempurna seperti perintah Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 77 agar orang beriman rukuk dan sujud. 

Rasulullah SAW juga menekankan kepentingan toma’ninah dalam setiap pergerakan supaya sujud dilakukan dengan tenang dan sempurna.

Terdapat tujuh anggota wajib ketika sujud iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut serta hujung jari kaki. 

Dahi menjadi anggota paling utama kerana melambangkan kemuncak ketundukan seorang hamba kepada Pencipta.

“Jika keseluruhan dahi tertutup hingga kulit langsung tidak menyentuh lantai, maka sujud tidak sah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan jemaah supaya merapikan dan memastikan bahagian dahi tidak terlindung sebelum sujud agar ibadah dapat dilakukan dengan sempurna.

Begitupun, sujud di atas kain atau sejadah yang tidak bersambung dengan tubuh serta tidak bergerak adalah dibenarkan dan tidak menjejaskan kesahan solat.-Muslimah