Impian menjadi isteri sempurna sering menjadi dambaan ramai wanita.
Namun tanpa sedar, keinginan itu boleh bertukar menjadi tekanan apabila segala-galanya dirasakan tidak cukup baik, termasuk diri sendiri dan pasangan.
Dalam banyak keadaan, isteri mula meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap rumah tangga, sehingga setiap kekurangan kecil dilihat sebagai masalah besar.
Pensyarah Kanan Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Siti Marziah Zakaria berkata, sikap terlalu mengejar kesempurnaan boleh menyebabkan seseorang menjadi terlalu kritikal, bukan sahaja terhadap diri sendiri, malah terhadap pasangan.
“Apabila seseorang terlalu menginginkan kehidupan yang sempurna, mereka cenderung melihat kelemahan pasangan berbanding kelebihan yang dimiliki,” katanya kepada Muslimah.
Membandingkan kehidupan
Apabila isteri meletakkan standard tertentu atau sering membandingkan kehidupan rumah tangga dengan orang lain, mereka mungkin sukar melihat nilai dan usaha suami, walaupun suami telah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.
Keadaan ini akhirnya mencetuskan rasa tidak puas hati dalam rumah tangga.
Tambahnya, sikap suka membandingkan kehidupan sendiri dengan pasangan lain turut menjadi antara faktor utama menyumbang kepada tekanan dalam perkahwinan.
“Melihat kehidupan orang lain yang kelihatan lebih mewah atau stabil boleh menyebabkan seseorang mula mempersoalkan kehidupan sendiri,” katanya.
Hakikatnya, setiap rumah tangga mempunyai rezeki dan ujian yang berbeza. Tekanan sosial yang meletakkan tanggungjawab besar kepada isteri turut memburukkan keadaan.
“Ada tanggapan isteri perlu menguruskan semua perkara termasuk rumah tangga, anak, suami dan kerjaya secara serentak serta sempurna,” katanya.
Akibatnya, ramai wanita memaksa diri melakukan segala-galanya walaupun dalam keadaan penat atau tidak sihat kerana bimbang dianggap tidak cukup baik sebagai isteri.
Obsesi terhadap kesempurnaan ini boleh menyebabkan pasangan menjadi terlalu mudah mengkritik dan sukar menghargai.
Apabila fokus hanya diberikan kepada kekurangan, hubungan akan kehilangan rasa syukur dan penghargaan.
“Situasi ini menyebabkan konflik berpanjangan, terutama melibatkan isu kewangan, peranan dalam rumah tangga dan jangkaan hidup,” katanya.
Justeru, kunci kepada rumah tangga bahagia bukan terletak pada kesempurnaan, sebaliknya pada penerimaan.
Menerima kekurangan diri, pasangan dan anak-anak menjadi asas kepada hubungan yang lebih tenang dan stabil.-Muslimah