Persoalan mengenai keperluan persetujuan isteri bagi membolehkan pasangan suami isteri kembali rujuk selepas perceraian sering menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat.
Menerusi perkongsian pakar perundangan syarie, Peguam Syarie Aiman, suami sebenarnya mempunyai hak untuk merujuk semula isteri yang diceraikan tanpa memerlukan persetujuan atau keredaan wanita tersebut asalkan dilakukan dalam tempoh iddah.
Menurutnya, rujuk bermaksud suami mengambil semula isteri dalam tempoh iddah tanpa perlu melalui akad nikah yang baharu.
“Berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 228, suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka, jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.
“Malah, Ibn Qudamah dalam kitab Al-Mughni juga menyatakan isteri yang masih dalam tempoh iddah apabila suaminya merujuknya tanpa pengetahuannya, maka sah rujuk tersebut.
“Ini kerana rujuk tidak memerlukan keredaan isteri, sepertimana talak tidak memerlukan keredaan isteri,” katanya dalam hantaran di media sosial baru-baru ini.
Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat wajib yang perlu dipenuhi bagi memastikan proses rujuk itu sah di sisi syarak, antaranya ialah jenis talak, tempoh iddah dan lafaz rujuk.
“Proses rujuk hanya sah untuk talak rajie (talak satu atau dua) sahaja dan isteri mestilah masih dalam tempoh iddah.
“Suami juga perlu menggunakan lafaz yang jelas (sharih) dan nyata serta mempunyai niat yang tulus untuk kembali sebagai suami isteri,” katanya.
Menyentuh mengenai prosedur, beliau berkata, jika kedua-dua pihak bersetuju, lafaz rujuk sebaiknya dilakukan di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (PNCR) di pejabat agama.
“Namun, sekiranya lafaz dibuat di rumah atau di lokasi lain, pasangan terbabit wajib segera ke Mahkamah Syariah bagi membuat pengesahan lafaz rujuk tersebut.
“Jangan ambil mudah isu pendaftaran kerana perkara ini melibatkan kesan hukum yang besar terhadap status perkahwinan, hak pewarisan dan perwalian anak di masa hadapan,” katanya.-Muslimah