Masih menanti zuriat? Ustazah kongsi amalan ikhtiar di 10 Malam terakhir Ramadan

Bagi pasangan yang sedang menanti kehadiran cahaya mata, 10 malam terakhir Ramadan merupakan waktu yang sangat berharga untuk berikhtiar melalui kekuatan doa dan amalan kerohanian.

Dalam malam-malam yang penuh keberkatan ini, umat Islam berpeluang bertemu dengan Lailatulqadar iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. 

Bagi pasangan yang sedang berusaha mendapatkan zuriat, inilah waktu terbaik untuk memperbanyakkan doa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Pendakwah bebas, Ustazah Azila Shamsudian, berkongsi beberapa amalan yang boleh diamalkan oleh wanita yang sedang berikhtiar untuk hamil atau trying to conceive (TTC). 

Katanya, antara amalan yang paling utama ialah memperbanyakkan istighfar.

Istighfar bukan sekadar lafaz memohon keampunan daripada Allah SWT, malahmerupakan kunci yang membuka pintu rezeki dalam pelbagai bentuk termasuk rezeki zuriat.

“Banyakkan istighfar. Itu antara pesanan yang saya terima daripada guru-guru agama saya di Mekah untuk mereka yang mahukan zuriat,” katanya kepada Muslimah.

Amalan ini disebut secara jelas dalam Surah Nuh ayat 10 hingga 12 yang menerangkan kelebihan istighfar sebagai salah satu jalan untuk memperoleh pelbagai bentuk rezeki daripada Allah SWT.

“Dalam ayat itu Allah SWT secara jelas menyatakan bahawa dengan beristighfar, Dia bukan sahaja mengampunkan dosa malah akan menurunkan hujan, memberi harta dan yang paling penting mengurniakan anak-anak (zuriat),” katanya. 

Tambahnya, amalan istighfar boleh dilakukan pada bila-bila masa, namun kelebihannya lebih terasa apabila diamalkan pada waktu-waktu yang mustajab seperti di sepertiga malam, ketika sujud dalam solat serta pada malam-malam terakhir Ramadan.

Selain memperbanyakkan istighfar, beliau turut menggalakkan wanita yang sedang berikhtiar mendapatkan zuriat untuk memperbanyakkan doa dengan penuh keyakinan kepada Allah SWT.

Di samping itu, amalan bersedekah juga sangat digalakkan sebagai salah satu usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Walaupun kelihatan sederhana, sedekah mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam.

Gabungan antara taubat melalui istighfar dan kemurahan hati melalui sedekah dipercayai mampu menjadi wasilah yang kuat agar doa seseorang lebih mudah dimakbulkan.

Hakikatnya, rezeki zuriat adalah anugerah yang datang daripada Allah SWT pada waktu yang paling tepat menurut hikmah-Nya. Ada pasangan yang dikurniakan anak dengan cepat, dan ada juga yang diuji dengan tempoh penantian yang panjang.

Namun bagi yang sedang menanti dengan penuh sabar, 10 malam terakhir Ramadan merupakan peluang terbaik untuk terus berikhtiar secara rohani.

Perbanyakkan istighfar, bangun berdoa pada waktu malam, bersedekah serta memohon dengan penuh pengharapan kepada Allah SWT.

Mudah-mudahan, pada malam yang penuh keberkatan itu, doa yang dipanjatkan akan diangkat ke langit dan menjadi asbab kepada hadirnya rezeki zuriat yang dinanti-nantikan.-Muslimah