Kenapa kaffarah isteri lebih ringan berbanding suami?

Kedatangan bulan Ramadan bukan sekadar  menahan lapar dan dahaga, tetapi juga ujian rohani menguji disiplin serta ketakwaan setiap hamba-Nya. 

Ramadan adalah madrasah jiwa yang mendidik manusia supaya lebih sabar, berakhlak dan mampu mengawal hawa nafsu. 

Dalam suasana siang yang panjang dan keletihan yang terasa, seorang Muslim diajar untuk menundukkan keinginan demi menghormati perintah Allah SWT.

Namun, dalam keindahan ibadah ini, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai hukum-hakam yang dianggap ‘berat sebelah’, terutama melibatkan isu hubungan intim suami isteri di siang hari Ramadan. 

Baru-baru ini, tular perbincangan di aplikasi Threads mengenai kewajipan kaffarah uzma (denda besar) yang hanya dikenakan ke atas suami, manakala isteri sekadar perlu menggantikan puasa. 

Perbincangan ini membuka ruang kepada masyarakat untuk menilai semula kefahaman tentang hukum fiqh dan hikmah di sebaliknya.

Berdasarkan pandangan Mazhab Syafi‘i yang menjadi pegangan arus perdana di Malaysia, seorang suami yang melakukan persetubuhan dengan sengaja di siang hari Ramadan wajib menanggung denda kaffarah. 

Hal ini dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan iaitu kaffarah merupakan denda yang berkait dengan perbuatan merosakkan kesucian puasa melalui jimak secara sengaja. 

Ia bukan sekadar kesalahan biasa yang membatalkan puasa, tetapi kesalahan berat kerana melibatkan perbuatan yang secara jelas dilarang ketika waktu berpuasa.

Daripada sudut fiqh, suami dianggap sebagai fa’il (pelaku utama), manakala isteri ialah pihak yang dipersetubuhi (maful biha).

Dalam kerangka ini, tanggungjawab kaffarah diletakkan ke atas suami sebagai bentuk uqubah atau hukuman atas perbuatannya. 

Para ulama menekankan hukum ini terpakai sekiranya perbuatan tersebut dilakukan dengan sengaja, mengetahui hukum haramnya serta sedar dirinya sedang berpuasa.

Hukum ini bukanlah rekaan manusia, sebaliknya bersandarkan kepada hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. 

Dalam sebuah kisah masyhur, seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dalam keadaan cemas dan penuh penyesalan, mengakui telah melakukan persetubuhan dengan isterinya pada siang hari Ramadan. 

Baginda SAW kemudian memerintahkan lelaki itu menunaikan kaffarah secara bertahap: memerdekakan seorang hamba jika mampu; jika tidak mampu, berpuasa dua bulan berturut-turut; dan jika masih tidak mampu, memberi makan kepada 60 orang miskin.

Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW tidak memerintahkan isteri lelaki itu untuk turut membayar kaffarah yang sama. Isteri hanya perlu menggantikan puasanya (qada). 

Perincian ini menjadi asas penting dalam perbahasan fuqaha iaitu kewajipan kaffarah uzma tidak dikenakan ke atas isteri dalam situasi tersebut.

Tanggungjawab suami

Di dalam kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa kaffarah tetap wajib ke atas suami selagi mana dia melakukannya dengan pilihan sendiri, mengetahui hukum dan dalam keadaan sedar. 

Bahkan, walaupun isteri yang memulakan godaan, tanggungjawab tetap terletak di bahu suami kerana dia mempunyai keupayaan untuk menolak dan mengawal keadaan.

Di sinilah letaknya hikmah yang sering terlepas pandang. 

Dalam Islam, suami diangkat sebagai qawwam, iaitu pemimpin dan pelindung dalam rumah tangga. 

Kepimpinan bukan sekadar soal memberi nafkah atau membuat keputusan, tetapi juga memimpin keluarga dalam hal ibadah dan menjaga kehormatan bulan yang mulia. 

Jika suami gagal mengawal dirinya dalam keadaan yang jelas diharamkan, maka tanggungjawab dan kesannya lebih berat ke atas dirinya.

Namun, ini tidak bermakna Islam memandang ringan peranan atau tanggungjawab isteri. 

Isteri tetap berdosa jika terlibat secara rela dalam perbuatan tersebut dan tetap wajib menggantikan puasanya. 

Bezanya, kaffarah uzma adalah hukuman khusus yang datang daripada nas hadis yang jelas, bukan hasil tafsiran berat sebelah atau kecenderungan jantina.

Perlu juga difahami hukum ini terpakai dalam situasi tertentu sahaja. 

Sekiranya persetubuhan berlaku kerana paksaan, maka pihak yang dipaksa tidak menanggung dosa atau kaffarah. 

Begitu juga jika berlaku kerana terlupa atau tidak tahu bahawa waktu tersebut masih dalam tempoh puasa, maka hukumannya berbeza. 

Fiqh Islam sentiasa melihat kepada niat, keadaan dan tahap pengetahuan seseorang.

Sebahagian masyarakat mempersoalkan mengapa beban denda dilihat lebih berat kepada lelaki. 

Hakikatnya, dalam banyak keadaan lain, syariat juga menetapkan tanggungjawab tertentu ke atas wanita yang tidak dikenakan ke atas lelaki. 

Islam bukan membahagikan hukum berdasarkan emosi atau persepsi keadilan moden, tetapi berdasarkan wahyu dan hikmah yang mungkin tidak terus terlihat.

Kaffarah uzma sendiri mempunyai nilai pendidikan yang mendalam. 

Berpuasa dua bulan berturut-turut, misalnya, bukan sesuatu yang mudah. 

Ia mendidik jiwa supaya benar-benar merasai beratnya kesalahan tersebut. 

Memberi makan kepada 60 orang miskin pula membuka ruang untuk membantu golongan memerlukan, sekali gus mengubah kesalahan peribadi menjadi manfaat sosial.

Ramadan bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi menahan diri daripada perkara yang mengundang murka Allah SWT. 

Dalam konteks rumah tangga, ia menjadi ujian sebenar kepada pasangan suami isteri untuk saling mengingatkan dan membantu menjaga ibadah masing-masing.

Jika dilihat daripada sudut lebih luas, kewajipan kaffarah ini sebenarnya menanamkan rasa tanggungjawab dan kepimpinan dalam diri seorang lelaki. 

Ia mengingatkan menjadi suami bukan hanya tentang hak, tetapi juga tentang amanah besar menjaga maruah diri, maruah pasangan dan kesucian ibadah.

Akhirnya, perbahasan mengenai kaffarah uzma ini sepatutnya membawa kita kepada satu kesimpulan yang lebih matang iaitu hukum Islam tidak boleh dinilai hanya dengan neraca emosi atau persepsi keadilan semata-mata. 

Ia perlu difahami melalui disiplin ilmu, rujukan kepada ulama muktabar dan kesedaran setiap ketetapan syarak mengandungi hikmah tersendiri.-Muslimah

TAGGED: