Baru menjelang tengah hari, ada yang sudah mula berasa lesu, pening dan sukar memberi tumpuan.
Waktu berbuka masih jauh namun, tubuh seolah-olah sudah ‘kehabisan bateri’.
Keadaan ini sering berlaku ketika berpuasa dan tanpa disedari, puncanya mungkin bermula daripada cara bersahur.
Sahur bukan sekadar mengalas perut, tetapi kunci utama memastikan tubuh kekal bertenaga sepanjang hari.
Kesilapan kecil ketika sahur boleh menyebabkan paras gula dalam darah turun mendadak sekaligus membuatkan badan cepat lemah.
Berikut enam kesilapan yang perlu dielakkan:
- Meninggalkan sahur
Mengantuk bukan alasan untuk meninggalkan sahur. Tanpa bekalan makanan sebelum Subuh, tubuh kehilangan sumber tenaga awal menyebabkan paras gula darah menurun dengan cepat. Kesannya, mudah pening, menggigil dan sukar fokus.
Waktu yang digalakkan untuk bersahur sekitar 30 minit sebelum imsak agar tenaga yang diambil dapat digunakan secara optimum sepanjang hari.
- Ambil karbohidrat ringkas
Mi segera dan makanan berasaskan tepung putih memang mudah disediakan, namun mengandungi karbohidrat ringkas yang cepat dihadam. Tenaga dilepaskan dengan pantas, tetapi juga cepat habis sekaligus menyebabkan cepat rasa lapar.
Sebaliknya, pilih karbohidrat kompleks seperti oat, nasi perang atau roti bijirin penuh kerana membantu tenaga bertahan lebih lama.
- Terlalu banyak makanan dan minuman manis
Pengambilan makanan atau minuman manis ketika sahur boleh menyebabkan lonjakan gula darah secara mendadak. Namun, paras gula ini akan turun secara drastik selepas beberapa jam, sekali gus membuatkan badan terasa lesu dan tidak bermaya.
Pengambilan gula secara sederhana lebih baik untuk kestabilan tenaga sepanjang hari.
- Mengabaikan protein
Ramai yang mengambil nasi dalam jumlah banyak tetapi kurang lauk atau protein. Protein seperti telur, ayam, ikan, tempe dan kekacang membantu mengekalkan rasa kenyang lebih lama serta menyokong fungsi otot badan.
Gabungan karbohidrat kompleks dan protein merupakan kombinasi terbaik untuk sahur seimbang.
- Minum air secara berlebihan sekaligus
Minum air dalam jumlah banyak beberapa minit sebelum azan Subuh bukanlah kaedah yang berkesan untuk kekal terhidrat. Tubuh memerlukan masa untuk menyerap air dengan baik.
Amalkan pengambilan air secara berperingkat dari waktu berbuka hingga ke sahur bagi memastikan badan kekal terhidrasi sepanjang hari.
- Mengambil kafein dan garam berlebihan
Minuman berkafein seperti kopi dan teh bersifat diuretik yang boleh menyebabkan tubuh kehilangan lebih banyak air. Makanan terlalu masin pula boleh mencetuskan rasa dahaga melampau ketika berpuasa.
Mengurangkan kedua-duanya ketika sahur membantu mengekalkan keseimbangan cecair dan keselesaan sepanjang hari.
Sebagai pelengkap, makanan seperti pisang untuk membantu mengekalkan potasium, kurma sebagai sumber tenaga segera serta yogurt untuk kesihatan penghadaman boleh dijadikan pilihan tambahan ketika sahur.
Ramadan merupakan waktu terbaik untuk memperbaiki corak pemakanan. Sahur yang seimbang bukan sahaja membantu tubuh kekal cergas, malah memudahkan ibadah dilakukan dengan lebih fokus dan tenang.
Disiplin di meja makan juga sebahagian daripada latihan rohani sepanjang bulan mulia ini.-Muslimah