Ramadan hadir membawa rahmat, keampunan dan peluang pahala yang tidak terhingga buat setiap Muslim.
Dalam suasana umat Islam berlumba-lumba memperbanyakkan ibadah, ada dalam kalangan wanita yang diuji dengan haid atau uzur syarie sehingga tidak dapat berpuasa dan menunaikan solat seperti biasa.
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, haid adalah ketetapan dan rahmat daripada Allah SWT kepada wanita dan itu bukan penghalang untuk terus mendekatkan diri kepada-Nya.
Walaupun terdapat ibadah tertentu yang tidak boleh dilakukan ketika haid, pintu pahala tetap terbuka luas melalui amalan-amalan lain yang tidak kurang besar ganjarannya.
Bersedekah
Antara amalan utama yang boleh dilakukan ialah memperbanyakkan sedekah. Ramadan adalah bulan yang sangat digalakkan untuk bersedekah kerana ganjarannya berlipat ganda.
Sedekah tidak mensyaratkan seseorang itu berada dalam keadaan suci daripada hadas.
Justeru, wanita yang sedang haid tetap boleh bersedekah mengikut kemampuan masing-masing, sama ada dalam bentuk wang, makanan atau bantuan kepada yang memerlukan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am, ayat 160 yang bermaksud:“Barang siapa membawa satu kebaikan, maka baginya sepuluh kali ganda ganjaran.”
Ayat ini menjadi penguat hati setiap kebaikan, walaupun kecil, tetap bernilai besar di sisi Allah SWT.
Hidupkan Ramadan dengan doa dan zikir
Wanita haid juga digalakkan memperbanyakkan doa, zikir dan selawat. Mengingati Allah SWT adalah ibadah yang boleh dilakukan pada setiap masa tanpa mengira keadaan.
Dalam sebuah riwayat, Saidatina Aisyah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang doa yang perlu dibaca sekiranya bertemu malam Lailatul Qadar.
Baginda SAW mengajarkan doa:“Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni”
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku.
Doa ini sangat dianjurkan untuk diamalkan, khususnya pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Selain itu, wanita haid juga boleh mendengar bacaan al-Quran tanpa menyentuh mushaf, mengikuti majlis ilmu dan memperkukuhkan kefahaman agama sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Memberi makan ganjaran seperti berpuasa
Antara amalan yang juga besar ganjarannya ialah memberi makan kepada orang yang berbuka puasa.
Rasulullah SAW bersabda sesiapa yang memberi makan kepada orang berpuasa, dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun pahala mereka.
Ini bermakna wanita yang menyediakan juadah berbuka untuk keluarga atau berkongsi rezeki dengan jiran dan golongan memerlukan tetap meraih ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
Kesimpulannya, haid bukanlah penghalang untuk menjadi hamba yang taat dan dekat dengan Allah SWT. Ramadan bukan sekadar tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi tentang keikhlasan hati dalam mencari reda-Nya.
Walaupun tidak berpuasa dan solat buat sementara waktu, Muslimah tetap mampu mengisi Ramadan dengan amal kebaikan yang berterusan.
Semoga setiap usaha kecil yang dilakukan dengan penuh keikhlasan menjadi asbab keberkatan dan diterima oleh Allah SWT.-Muslimah