Muslimah berpakaian sopan diperlekeh di dunia korporat

Siti (bukan nama sebenar) memiliki segulung ijazah kelas pertama dan berjaya menempatkan diri di sebuah firma perhubungan awam yang terkemuka di ibu kota.

Namun, imejnya yang mengenakan tudung menutupi dada sering menjadi bahan gurauan halus rakan sekerja. 

Ternyata, pemakaian mengikut syariat Islam di zaman ini seringkali menjadi sasaran ejekan dan usikan nakal.

Gaya pemakaian sama ada bertudung labuh atau berbaju kurung longgar, sering disalah erti sebagai kurang sofistikated atau tidak progresif dalam dunia korporat yang serba pantas.

“Siti, kalau awak mahu naik pangkat dan berurusan dengan klien besar, mungkin kena tukar gaya tudung itu. Nampak terlalu kampung.

“Hati saya luruh, seolah-olah kain tudung saya ini menutup sel-sel otak saya daripada berfungsi,” kata Siti ketika ditanya mengenai cabaran Muslimah di dunia korporat.

Lain pula ceritanya bagi Farhana (bukan nama sebenar), seorang akauntan senior yang mendapati wujudnya tembok halimunan bagi Muslimah yang berpakaian mengikut syariat Islam.

Katanya, dia sering diketepikan untuk tugasan luar negara atau majlis korporat yang dianggap glamor. 

Selain itu, ada stereotaip negatif yang melabelkan wanita berpakaian konservatif sebagai individu yang tidak fleksibel atau sukar bergaul dalam aktiviti jalinan rangkaian yang melibatkan persekitaran tidak patuh syariah.

Sedangkan, ramai wanita berhijab di luar sana yang berjaya memegang jawatan tertinggi sebagai ketua pegawai eksekutif dan pengarah syarikat gergasi tanpa perlu menggadaikan prinsip pemakaian mereka. 

Mereka telah membuktikan keanggunan sebenar terletak pada keyakinan diri serta ketajaman minda.

Kesimpulannya, pakaian cara Islam tidak pernah menjadi penghalang kepada kemajuan mana-mana individu. 

Sudah tiba masanya segala bentuk diskriminasi tersirat ini dihentikan agar pejabat menjadi ruang inklusif untuk semua pihak tanpa mengira cara individu memilih untuk menutup aurat.-Muslimah