Tidak pernah meninggalkan solat, malah sentiasa meluangkan masa membaca al-Quran, namun hati masih belum benar-benar terbuka untuk menutup aurat dengan sempurna.
Persoalan ini sering diluahkan oleh wanita yang resah memikirkan di mana silapnya.
Pendakwah bebas, Azila Shamsudian berkata, ramai umat Islam ketika ini melaksanakan ibadah secara rutin tanpa benar-benar memahami makna bacaan dalam solat serta kandungan ayat al-Quran yang dibaca.
“Ramai solat dan mengaji tetapi tidak memahami apa yang dibaca. Bila tidak faham makna doa dalam solat atau ayat al-Quran yang diulang berkali-kali, ibadah itu hanya jadi rutin, bukan penghayatan,” katanya kepada Muslimah.
Tambahnya, bagi melaksanakan perintah Allah termasuk menutup aurat, seseorang perlu memahami ia adalah kewajipan syarak yang dijanjikan ganjaran pahala, selain disokong oleh iman yang kukuh terhadap perkara ghaib seperti dosa, pahala, syurga dan neraka.
Perubahan bermula dari diri sendiri
Ustazah Azila berkata, individu tidak akan berubah selagi diri sendiri tidak mahu berubah.
Dalam konteks dakwah menutup aurat, katanya, tugas manusia hanyalah menyampaikan ajaran Islam, namun yang membuka hati dan memberi hidayah ialah Allah SWT.
“Kita boleh nasihat, menyeru dan mengajak tetapi jika individu itu tidak mahu, dia tidak akan berubah. Sebab itu dakwah perlu berjalan seiring dengan doa agar Allah melembutkan hati manusia,” katanya.
Katanya, keengganan seseorang untuk mematuhi syariat sering berpunca daripada kelemahan kefahaman dan keyakinan terhadap Allah sedangkan ia merupakan dua elemen asas yang membentuk kekuatan jiwa serta dorongan untuk berubah.
“Tanpa kefahaman terhadap apa yang dibaca dalam al-Quran dan dilakukan dalam solat, serta tanpa keyakinan yang kuat kepada Allah, keinginan untuk melaksanakan perintah-Nya termasuk menutup aurat akan menjadi lemah,” katanya.
Cabaran persekitaran
Berkongsi pengalaman terlibat dalam kempen menutup aurat bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beliau berkata ramai wanita sebenarnya mempunyai keinginan untuk berubah, namun faktor persekitaran sering menjadi penghalang utama untuk istiqamah.
“Apabila berada dalam lingkungan yang majoritinya tidak menutup aurat, seseorang boleh rasa terasing. Sebab itu niat kerana Allah sangat penting, tetapi sokongan persekitaran juga memainkan peranan besar,” katanya.
Selain itu, ada individu yang mula menutup aurat berdepan ejekan atau dipandang pelik oleh rakan sekeliling, sehingga ada yang kembali membuka tudung.
Dalam situasi itu, katanya, Muslimah perlu mencari sokongan positif dan terus berdoa agar diberi keteguhan hati.
Menutup aurat kewajipan, bukan soal hati
Mengulas tanggapan ‘yang penting hati baik’, beliau menegaskan hati yang benar-benar baik diterjemahkan melalui ketaatan kepada perintah Allah dan menutup aurat ialah kewajipan syariah yang jelas.
“Solat, puasa dan membaca al-Quran sudah dilakukan, tetapi menutup aurat juga adalah perintah Allah. Ia bukan isu kecil,” katanya.
Setiap syariat mempunyai hikmah tersendiri, termasuk dari sudut kesihatan fizikal.
Antaranya, wanita yang menutup aurat tidak terdedah secara langsung kepada cahaya matahari, sekali gus membantu melindungi kulit selain tidak perlu bergantung kepada pelindung matahari untuk seluruh tubuh.
Menurutnya, keselesaan sebenar apabila sesuatu dilakukan kerana Allah dan apabila ketaatan menjadi kebiasaan, ia terasa ringan walaupun pada pandangan orang lain kelihatan sukar.
“Hidup ini masih memberi peluang selagi ajal belum tiba. Sama-sama kita berdoa agar Allah menetapkan iman, menjaga aurat dan memelihara ketaatan kita kepadaNya,” katanya.-Muslimah