Empat resipi air detoks buat badan rasa ‘ringan’

Air detoks semakin popular sebagai sebahagian daripada rutin gaya hidup moden, khususnya Muslimah yang mahu tampil segar dan bertenaga setiap hari.

Campuran air kosong bersama buah-buahan, herba atau sayuran segar itu mudah disediakan dan menyegarkan selain membantu menjaga penampilan dari dalam.

Rasa semula jadi daripada buah dan herba menjadikan pengambilan air harian lebih menarik berbanding air kosong semata-mata, sekali gus mendorong tabiat minum air yang lebih konsisten.

Tidak hairanlah ramai mengaitkan air detoks dengan kulit yang kelihatan lebih lembab, badan terasa lebih ringan serta perut yang kurang kembung, terutama apabila ia dijadikan pengganti kepada minuman manis atau berperisa tiruan.

Gaya hidup serba pantas hari ini menyebabkan ramai mengambil makanan tinggi gula dan garam sekaligus menyebabkan tubuh terasa lesu, kulit kelihatan kusam dan perut mudah rasa tidak selesa.

Pada ketika inilah air detoks menjadi alternatif ringkas untuk memberi rasa segar dan membantu badan kembali terasa lebih ringan.

Sebagai inspirasi untuk mencuba sendiri di rumah, berikut beberapa pilihan air detoks yang bukan sahaja menyegarkan, malah sedap dinikmati.

Strawberi, lemon dan basil

Gabungan ini memberi rasa segar dengan sentuhan elegan. Strawberi dan lemon memberikan rasa masam manis yang menyenangkan, manakala basil menambah aroma unik yang menaikkan selera. Minuman ini sering menjadi pilihan memberi rasa segar sepanjang hari, selain menjadikan kulit kelihatan lebih bermaya apabila diminum secara konsisten sebagai air kosong berperisa semula jadi.

Timun, lemon dan daun pudina

Timun yang tinggi kandungan air menjadikan minuman ini terasa ringan dan menyegarkan. Lemon menambah rasa segar, manakala daun pudina memberikan aroma yang menenangkan. Gabungan ini sesuai dinikmati ketika cuaca panas atau selepas hari yang memenatkan, terutama apabila badan terasa ‘berat’ dan memerlukan sesuatu yang ringan.

Halia dan daun pudina

Pilihan untuk yang gemarkan rasa sedikit pedas dan segar. Halia memberi sensasi hangat yang selesa, sementara daun pudina menyeimbangkan rasa dengan kesegaran semula jadi. Minuman ini sering dinikmati untuk memberi rasa selesa pada perut dan membantu tubuh terasa lebih segar.

Epal hijau dan kayu manis

Epal hijau memberi rasa masam manis semula jadi, manakala kayu manis menambah aroma yang lembut dan menenangkan. Gabungan ini sesuai diminum pada waktu pagi atau ketika ingin mengelakkan minuman bergula, selain memberi rasa puas tanpa perlu pemanis tambahan.

Tips untuk lebih sedap, biarkan bahan-bahan ini direndam beberapa jam atau semalaman. 

Elakkan penambahan gula dan nikmati rasa aslinya. Menggunakan botol kegemaran atau bekas kaca juga boleh menjadikan rutin ini lebih menarik dan konsisten.-Muslimah