Tabiat harian yang rosakkan kulit wajah

Setiap wanita pasti impikan kulit yang sihat dan berseri. Namun tanpa sedar, rutin harian yang biasa dilakukan sebenarnya boleh menjadi punca kulit kusam, mudah berjerawat dan cepat menua.

Walaupun sudah melabur dalam pelbagai produk penjagaan kulit, tabiat kecil yang sering dipandang remeh boleh menjejaskan hasilnya. 

Kebanyakan masalah ini boleh diperbaiki dengan perubahan ringkas dalam gaya hidup seharian.

Berikut antara tabiat harian yang sebenarnya dapat memberi kesan negatif kepada kulit serta langkah mudah untuk memperbaikinya.

Tidur tanpa bersihkan solekan

Keletihan selepas seharian beraktiviti sering membuatkan wanita terlupa mencuci muka sebelum tidur. Namun tabiat ini boleh menyebabkan pori tersumbat, jerawat dan penuaan pramatang kerana solekan yang dibiarkan semalaman akan memerangkap kotoran serta pencemaran. Sebaiknya, biasakan membersihkan wajah dengan pencuci muka atau air micellar walau sesibuk mana sekalipun, supaya kulit dapat ‘bernafas’ dan pulih sepanjang malam.

Kerap sentuh muka 

Meletakkan tangan di dagu atau memicit jerawat mungkin kelihatan remeh, namun tangan membawa banyak bakteria yang boleh berpindah ke kulit wajah. Setiap sentuhan berpotensi memindahkan minyak dan kuman, sekali gus mencetuskan masalah kulit. Cuba elakkan menyentuh wajah kecuali ketika membersih atau memakai produk dan pastikan tangan sentiasa bersih.

Terlalu kerap skrub atau pengelupasan

Rasa bersih yang maksimum selepas skrub memang memuaskan tetapi pengelupasan berlebihan boleh merosakkan lapisan perlindungan kulit sehingga menyebabkan kemerahan dan sensitiviti. Lakukan eksfoliasi hanya satu hingga tiga kali seminggu mengikut jenis kulit, serta pilih bahan produk lembut terutama bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif.

Mengabaikan kebersihan skrin telefon

Telefon bimbit selalu digunakan hampir sepanjang hari dan terdedah kepada pelbagai permukaan, menjadikannya antara tempat paling mudah mengumpul bakteria. Apabila telefon dilekapkan ke bahagian pipi, bakteria tersebut boleh berpindah ke kulit dan mencetuskan jerawat. Jadi, cuba amalkan membersihkan skrin telefon setiap hari menggunakan tisu beralkohol atau pembersih khas gajet sebagai langkah pencegahan mudah.

Tidak gunakan pelindung matahari setiap hari

Ramai menganggap pelindung matahari hanya perlu ketika cuaca panas atau berada di luar rumah, sedangkan sinaran ultraungu (UV) hadir setiap hari termasuk ketika mendung. Pendedahan berterusan boleh menyebabkan bintik gelap dan penuaan awal. Oleh itu, jadikan krim pelindung matahari sebahagian rutin pagi dengan memilih faktor perlindungan matahari (SPF) sekurang-kurangnya 30 dan sapukan juga pada leher, telinga serta tangan.

Jarang tukar cadar dan sarung bantal

Cadar dan sarung bantal yang digunakan sebenarnya menyerap peluh, minyak wajah, sisa produk rambut serta sel kulit mati. Apabila dibiarkan terlalu lama tanpa dicuci, fabrik ini menjadi tempat pembiakan bakteria yang boleh menyumbang kepada jerawat, kulit gatal dan iritasi terutama di bahagian pipi dan dahi yang kerap bersentuhan dengan bantal. Biasakan menukar sarung bantal sekurang-kurangnya seminggu sekali, manakala cadar pula setiap satu hingga dua minggu.-Muslimah