Ruang selamat wanita berkongsi dan bersenam

Kesibukan kehidupan moden sering membebankan terutama bagi ibu dan wanita bekerja.

Justeru, mencari ruang untuk melepaskan tekanan sambil mengekalkan kesihatan fizikal dan mental bukanlah satu perkara mudah.

Menyedari keperluan itu, pengasas Sole Sisters KL, Siti Aishah Saaharatol Mat Kamal membangunkan platform yang menggabungkan aktiviti senaman dengan ruang selamat untuk wanita berkongsi pengalaman dan bersosial.

“Saya gemar berjalan kaki kerana aktiviti ini mampu membebaskan saya daripada sebarang masalah yang dihadapi. Ia memberikan ruang untuk menenangkan fikiran buat seketika. 

Namun, saya percaya setiap insan masih memerlukan seseorang untuk berkomunikasi dan berhubung. Justeru, itulah yang mendorong saya untuk mewujudkan platform ini,” katanya kepada Muslimah.

Lebih daripada sekadar senaman

Berbeza dengan kelab larian yang sedia ada, Sole Sisters KL menawarkan alternatif yang lebih santai dan inklusif. 

Selain aktiviti berjalan kaki, platform itu turut menyediakan aktiviti lain seperti pilates, yoga dan sesi perkongsian pengalaman.

“Kelab larian memang banyak tetapi aktiviti berjalan santai seperti ini yang khusus untuk ibu-ibu, wanita hamil mahupun mereka yang menginginkan jadual senaman yang lebih santai dan fleksibel, masih terhad bilangannya.

“Fleksibiliti ini membolehkan wanita daripada pelbagai latar belakang dan tahap kecergasan untuk menyertai aktiviti tanpa rasa tertekan atau terpinggir,” katanya.

Ruang sosial ibu-ibu

Salah satu peserta tetap, Nur Aida, berkongsi pengalamannya sebagai suri rumah tangga yang menjaga anak di rumah. 

Baginya, Sole Sisters KL bukan sekadar platform senaman tetapi satu keperluan.

“Sebab saya jaga anak seorang di rumah. Saya perlukan tempat untuk melakukan aktiviti tanpa perlu meninggalkan anak saya. Saya rasa gembira dapat bersenam dalam masa yang dapat membuat kenalan baharu,” katanya.

Katanya, sesiapa yang berasa tertekan atau bosan di rumah boleh mencuba untuk menyertai aktiviti tersebut..

Sole Sisters KL berfungsi sebagai ruang selamat untuk wanita bebas berkongsi apa sahaja tanpa rasa dihakimi.

“Kadangkala, peserta hadir sebagai orang yang tidak dikenali. Kami tidak perlu mengetahui latar belakang terperinci mereka. Apa sahaja yang mereka kongsikan, kami dengar dan cuba memberikan sokongan,” jelasnya.

Membina jaringan

Platform itu turut berjaya mewujudkan satu komuniti yang erat. Peserta bukan sahaja datang bersenam malah membina persahabatan dan rangkaian perniagaan.

“Keistimewaan platform ini ialah hubungan yang terjalin tidak terhenti di situ sahaja. Mereka boleh bertemu semula, menjalankan perniagaan bersama, mahupun berkolaborasi dalam pelbagai projek,” kata Aisyah.

Walaupun mendapat sambutan positif, Aisyah mengakui bahawa Sole Sisters KL beroperasi tanpa sebarang sokongan kerajaan atau NGO. 

Platform ini bergantung sepenuhnya kepada bayaran peserta dan dana peribadi.

“Sejujurnya, tiada langsung. Saya juga bukan beroperasi sebagai NGO. Sebab itu, saya perlu mengenakan bayaran untuk setiap acara yang dianjurkan. Dana operasi bergantung sepenuhnya daripada situ sahaja,” akuinya.

Namun, Aisyah tidak menolak kemungkinan untuk menjadikan Sole Sisters KL sebagai NGO yang lebih formal pada masa hadapan terutama untuk memudahkan permohonan pembiayaan dan mengembangkan aktiviti.

Dalam dunia yang serba pantas ini, inisiatif seperti ini bukan sahaja meningkatkan kesihatan fizikal malah menyediakan sokongan emosi yang amat diperlukan oleh ramai wanita sekarang.-Muslimah