Ramai yang masih keliru antara produk halal dan mesra wuduk.
Sesuatu produk mungkin halal daripada segi kandungannya namun jika membentuk lapisan yang menghalang air (waterproof), ia tetap tidak mesra wuduk.
Topik yang paling mendapat perhatian adalah cat kuku telus air (breathable nail polish).
Cat kuku ini menggunakan teknologi polimer yang mempunyai liang seni di mana ia membolehkan molekul air dan oksigen menembusi lapisan pewarna hingga ke permukaan kuku.
Telus air atau mudah dibersihkan
Pengguna dinasihatkan agar tidak terkeliru dengan dua produk dengan ciri-ciri ini.
Pakar kimia kosmetik menjelaskan terdapat dua kategori utama yang sering dipasarkan iaitu produk telus air (water permeable) dan produk mudah dibersihkan.
Produk telus air mempunyai bahan yang membenarkan air meresap (sering digunakan dalam pewarna kuku dan bedak asas tertentu).
Produk mudah dibersihkan tidak telus air tetapi direka untuk luntur dengan hanya satu sapuan tisu basah tanpa perlu pembersih yang kuat.
Memilih Dengan Bijak
Terdapat beberapa panduan buat Muslimah memilih produk yang sesuai:
- Semak sijil Halal: Pastikan diiktiraf oleh Habatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau badan antarabangsa yang meyakinkan.
- Ujian titisan air: Untuk pewarna kuku, anda boleh melakukan ujian sendiri dengan menitiskan air di atas lapisan warna untuk melihat kadar serapan.
- Ketelusan jenama: Jenama yang baik akan menyatakan secara jujur sama ada produk mereka telus air atau sekadar mudah ditanggalkan.
Kecantikan dalam Islam adalah kebersihan dan kesederhanaan.
Teknologi kosmetik mesra wuduk membuktikan syariat Islam tidak pernah membebankan malah menggalakkan wanita tampil kemas dan berkeyakinan.
Namun, seri paling indah pada wajah seorang Muslimah bukanlah pada warna gincunya tetapi pada cahaya yang lahir daripada wuduk yang sempurna.-Muslimah