Selain wajah, tentulah wanita juga mengimpikan jari-jemari yang cantik.
Rahsianya bukan berbelanja besar pada rawatan mahal di spa, sebaliknya konsistensi penjagaan di rumah.
Hanya guna bahan-bahan ringkas dari dapur dan sedikit kerajinan, Muslimah boleh memiliki kuku yang sihat, kuat dan berkilat.
Ikuti rutin mingguan ini untuk transformasi jari-jemari yang lebih cantik dan mahal:
1.Detoks dan rendaman lemon
Mulakan rutin dengan membersihkan sisa pewarna kuku yang lama. Kemudian, rendam kuku dalam bekas berisi air suam yang dicampur dengan perahan lemon selama lima hingga 10 minit.
Lemon bertindak sebagai ejen pencerah semula jadi yang membantu menghilangkan kesan kekuningan pada kuku manakala air suam melembutkan kutikel yang keras.
2.Skrub gula dan madu
Jangan hanya fokus pada kuku, kulit di sekeliling jemari juga perlu dibelai. Campurkan satu sudu besar gula perang dengan sedikit madu dan minyak zaitun. Urut lembut pada seluruh tangan dan celah-celah jari.
Skrub ini bukan sahaja membuang sel kulit mati malah meninggalkan bau yang harum dan kulit yang sehalus sutera.
3.Teknik kikir ‘satu arah’
Inilah kesilapan yang sering dilakukan ramai iaitu mengikir kuku secara berulang-alik (seperti memotong kayu). Teknik ini sebenarnya merosakkan struktur keratin dan menyebabkan kuku mudah pecah. Cara yang betul ialah kikir dalam satu arah sahaja untuk mendapatkan bentuk yang kemas sama ada oval yang feminin atau soft square yang moden.
5.Jaga kuku sebelum tidur
Kutikel adalah pelindung kepada kuku yang baru tumbuh. Elakkan memotong kutikel terlalu dalam kerana ia boleh mengundang jangkitan kuman.
Sebaliknya, sapukan minyak kutikel atau sekadar minyak kelapa dara setiap malam sebelum tidur. Urutan ringkas pada dasar kuku membantu melancarkan aliran darah dan merangsang pertumbuhan kuku yang lebih kuat.
5.Lindungi dengan base coat
Jika anda peminat pewarna kuku, pastikan anda menyapu base coat (pelapis asas) terlebih dahulu. Ia bertindak sebagai perisai daripada bahan kimia pewarna yang boleh meresap dan merosakkan kuku asli. Jika mahu nampak lebih natural, sapu pengilat kuku lutsinar yang mengandungi vitamin. Tetapi, pastikannya halal dan mesra wuduk.
Kesimpulannya, penjagaan kuku di rumah adalah satu bentuk self-love yang paling ringkas namun memberi impak besar kepada keyakinan diri.
Apabila tangan nampak terjaga, secara tidak langsung aura keanggunan juga akan lebih terserlah.-Muslimah