Tuntutan menjadi serba boleh, perlu berjaya dan sentiasa kelihatan sempurna menjadikan tekanan sosial satu realiti yang semakin menghimpit wanita.
Mereka ‘wajib’ cemerlang dalam pelajaran atau kerjaya, menjadi isteri yang baik, ibu yang penyayang serta anak yang berbakti pada masa yang sama.
Kaunselor Berdaftar, Zarifah Mat Hussin berkata, beliau sering berdepan wanita yang hadir dalam keadaan emosi sangat lemah dan keletihan melampau.
“Ramai wanita datang berjumpa dengan saya dalam keadaan tertekan kerana perlu menguruskan suami dan anak-anak dan dalam masa yang sama perlu bekerja untuk memenuhi keperluan hidup serta jangkaan masyarakat,” katanya kepada Muslimah.

Tekanan sosial yang berterusan boleh menyebabkan masalah kesihatan mental serius seperti kebimbangan, kemurungan, kelesuan emosi dan gangguan fungsi kehidupan.
“Kes-kes ini semakin meningkat dalam kalangan wanita, walaupun mereka masih kelihatan mampu menjalani rutin harian, namun sebaliknya mereka mempunyai masalah kesihatan mental yang membimbangkan ” katanya.
Beliau berkongsi pengalaman mengendalikan satu kes wanita yang mengalami kelesuan emosi teruk akibat menguruskan keluarga seorang diri tanpa sokongan suami.
Wanita tersebut berpegang kepada kata-kata suami yang tidak mahu memiliki isteri yang ‘lemah’, menyebabkan dia terus menekan perasaan sendiri dan memikul semua tanggungjawab rumah tangga.
Akhirnya, keletihan emosi itu membawa kepada pemikiran negatif terhadap kehidupan, termasuk merasakan bahawa mati lebih baik daripada terus hidup dalam keadaan tersebut.
“Kes ini menunjukkan betapa serius impak tekanan sosial terhadap kesihatan mental wanita jika tidak ditangani dengan betul,” katanya.
Beban berganda
Realiti hari ini, khususnya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Selangor, ramai wanita yang sudah berkahwin terpaksa bekerja kerana pendapatan suami tidak mencukupi.
Keadaan ini menyebabkan wanita memikul beban berganda, iaitu bekerja di luar rumah dan mengurus rumah tangga sepenuhnya.
Beban ini sering melebihi tanggungjawab sebenar seorang isteri, namun dianggap sebagai perkara biasa dalam kehidupan seharian wanita.
Pada masa sama, suri rumah sepenuh masa juga tidak terkecuali daripada tekanan emosi.
Kata Zarifah, tekanan emosi yang berpanjangan turut menjejaskan keupayaan komunikasi sesetengah wanita.
“Ada wanita yang mengadu mereka seperti lupa cara bercakap, terutamanya apabila berkomunikasi dengan suami. Mereka sukar menyusun ayat, tidak dapat menyampaikan isi hati dan mudah hilang fokus,” katanya.
Keadaan ini menyebabkan mesej yang ingin disampaikan tidak sampai, seterusnya menimbulkan salah faham antara suami isteri.
Apabila tidak difahami, wanita memilih memendam perasaan walaupun mereka terluka dan berkecil hati.
Antara tanda awal tekanan sosial yang serius ialah perasaan cemas berlebihan, mudah menangis tanpa mengetahui punca sebenar serta gangguan tidur.
Wanita juga sering rasa bersalah tanpa sebab yang jelas, hilang minat terhadap perkara yang sebelum ini menggembirakan mereka, dan tidak lagi merasakan kepuasan dalam kehidupan seharian.
“Walaupun dikelilingi oleh keluarga atau ramai adik-beradik, wanita tetap rasa kosong dan tidak bahagia kerana tekanan yang dipendam terlalu lama,” katanya.
Tidak ‘sempat’ cari bantuan
Ramai wanita sebenarnya mahu mendapatkan bantuan, tetapi tidak mempunyai masa untuk diri sendiri.
Tanggungjawab sebagai suri rumah, terutamanya yang mempunyai ramai anak memaksa mereka memenuhi rutin harian dari pagi hingga malam.
Walaupun terdapat pelbagai talian bantuan seperti Talian Kasih dan Talian Sahabat, ramai wanita tidak dapat meluahkan masalah sepenuhnya kerana gangguan persekitaran seperti anak menangis atau suami berada di rumah.
Faktor kewangan juga menjadi penghalang apabila ada yang beranggapan sesi kaunseling memerlukan kos tinggi dan berulang.
Akhirnya, memilih memendam perasaan daripada mendapatkan bantuan profesional.
Kewujudan media sosial turut menjadi penyumbang besar kepada tekanan emosi wanita masa kini. Penggunaan pelbagai platform seperti Instagram, TikTok dan X menjadikan perbandingan sosial sukar dielakkan.
“Media sosial hari ini menggalakkan perbandingan sosial kerana ramai hanya memaparkan sisi kehidupan yang kelihatan sempurna,” katanya.
Wanita yang terdedah kepada paparan kehidupan ideal ini cenderung membandingkan diri dengan orang lain, sehingga timbul perasaan tidak cukup baik, rendah diri dan tidak berpuas hati dengan kehidupan sendiri.
Urus tekanan sosial
Bagi mengurus tekanan sosial dengan lebih sihat, wanita perlu menyayangi diri sendiri dan memberi fokus kepada kehidupan masa kini.
“Wanita perlu sedar yang diri sendiri adalah individu yang paling perlu dijaga kerana pada akhirnya, diri sendiri tidak akan meninggalkan diri sendiri,” katanya.
Selain itu, kurangkan penggunaan media sosial sekiranya ia memberikan impak negatif kepada kesejahteraan mental.
Boleh juga kongsi perasaan dengan individu yang dipercayai seperti rakan, jiran atau melalui kaunseling secara dalam talian.
Bagi wanita yang sering rasa tidak cukup baik, mereka perlu memahami perasaan itu lazimnya berpunca daripada tekanan sosial dan perbandingan yang tidak realistik.
“Cuba raikan kejayaan kecil mengikut kemampuan sendiri dan berhenti membandingkan diri dengan orang lain,” katanya.-Muslimah