Kulit rosak, cepat tua akibat kerap guna telefon bimbit, komputer

Dalam era digital yang sarat dengan teknologi skrin, istilah cahaya biru bukan lagi asing. 

Namun, sejauh mana masyarakat benar-benar memahami kesan sinaran ini terhadap kesihatan kulit?

Meskipun perhatian umum lebih tertumpu kepada sinaran ultraungu (UV), pakar kini mula menzahirkan kebimbangan terhadap ancaman senyap yang dibawa oleh cahaya biru.

Ancaman di sebalik skrin

Pakar Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Sunway,  cahaya biru berada dalam spektrum cahaya tampak yang mempunyai tenaga tinggi dan mampu memberi kesan buruk terhadap kulit manusia.

Katanya, kedudukan cahaya biru dalam spektrum elektromagnet bersebelahan dengan sinaran UV.

“Perubahan gaya hidup ketika pandemik COVID-19 yang memaksa kita bekerja dan belajar dari rumah telah membuka mata pakar dermatologi.

“Kita mula menyedari pendedahan kronik kepada skrin peranti yang menghasilkan sinaran cahaya biru ini memberi kesan buruk yang nyata kepada kulit,” katanya.

Salah satu kesan paling nyata yang disedari oleh pakar adalah penghasilan melanin yang berlebihan. Bagi masyarakat Asia yang mempunyai tona kulit lebih gelap, pendedahan kepada cahaya biru boleh mengakibatkan pigmentasi yang degil dan sukar dirawat.

“Cahaya biru mampu menembusi lapisan kulit lebih dalam berbanding sinar UV. Ia bukan sahaja menyebabkan kulit menjadi gelap, malah mencetuskan masalah kronik seperti melasma (jeragat tebal).

Tambahnya, cahaya biru juga merangsang pembentukan radikal bebas yang bertindak memusnahkan kolagen dan merosakkan DNA kulit.

“Kesannya, kulit akan hilang keanjalan, garis halus mula muncul dan wajah nampak jauh lebih tua daripada usia sebenar,” katanya.

Mitos ‘duduk rumah tidak perlu pakai krim pelindung matahari’

Ramai masih memegang kepercayaan lama krim pelindung matahari (sunscreen) hanya perlu dipakai apabila ke pantai atau melakukan aktiviti luar.

“Walaupun berada di dalam rumah, kita masih terdedah kepada cahaya biru daripada skrin peranti.

“Jadi, amalan menyapu pelindung matahari perlu diteruskan secara konsisten dan disapu semula setiap dua hingga empat jam untuk perlindungan optimum,” katanya.

Pemilihan produk pelindung matahari yang bersesuaian juga penting untuk memastikan kulit mendapat perlindungan menyeluruh daripada impak cahaya biru.

“Pelindung matahari fizikal bertindak seperti perisai yang dapat memantulkan semula cahaya biru daripada menembusi kulit.

“Ia mengandungi bahan seperti titanium dioxide, zinc oxide dan iron oxide,” katanya.

Tambahnya, kajian makmal menunjukkan bahan-bahan itu mampu memberikan perlindungan sehingga 90 peratus.

“Daripada sisi lain, pelindung matahari kimia pula dianggap kurang bersesuaian. Walaupun ia menyerap sinaran cahaya namun kurang berkesan terhadap cahaya biru,” katanya.

Tips jaga kulit

Bagi memastikan kulit kekal berseri dan terlindung daripada impak cahaya biru, amalkan langkah berikut:

Peraturan 30:5: Selepas 30 minit menghadap skrin, berehatlah selama 5 minit. Ia bukan sahaja baik untuk mata malah memberi nafas kepada kulit wajah.

Zon larangan matahari: Elakkan aktiviti luar antara jam 10 pagi hingga 4 petang. Jika terpaksa, pastikan memakai payung, topi dan pakaian berlengan panjang.

Mod malam: Aktifkan fungsi blue light filter atau mod malam pada telefon dan komputer untuk mengurangkan intensiti sinaran.