Di sebalik penampilan berhijab yang anggun, ada satu dilema yang sering menghantui ramai wanita.
Masalah bau kepam pada hijab dan rambut boleh menjadi mimpi ngeri, mencetuskan rasa tidak selesa dan menurunkan keyakinan diri.
Bau kurang menyenangkan ini biasanya muncul apabila rambut yang tertutup sepanjang hari terperangkap dalam haba, peluh dan kelembapan.
Keadaan itu bukan sahaja mencetuskan rasa rimas, malah menjadi ‘taman permainan’ ideal untuk pertumbuhan mikroorganisma yang merancakkan lagi bau tersebut.
Doktor Pemulihan Rambut, Dr. Deena Khairiah Baharuddin berkata, bau kepam berpunca daripada campuran minyak sebum, peluh dan kulat yang berkumpul serentak pada kulit kepala.
“Apabila haba dan kelembapan terperangkap di bawah tudung, kawasan tersebut menjadi medium ideal untuk pertumbuhan kulat semula jadi, yang dipanggil Malassezia membiak,” katanya kepada Utusan Malaysia
Tambahnya, pemilihan fabrik tudung yang dipakai juga memainkan peranan penting kewujudan bau tidak menyenangkan.
Jenis fabrik sintetik seperti poliester tidak mempunyai pengudaraan yang baik menyebabkan peluh dan minyak lambat kering sekali gus rambut sentiasa dalam keadaan lembap.
Sebaliknya, pemilihan tudung fabrik yang lebih ‘bernafas’ seperti kapas atau kain berjaring lebih disarankan kerana membenarkan aliran udara dan membantu rambut cepat kering.
Satu lagi tabiat yang sering dilakukan ialah memakai memakai tudung ketika rambut masih lembap, biasanya kerana ada tergesa-gesa atau ingin menjimatkan masa.
Namun, tindakan itu sebenarnya mempercepatkan pertumbuhan kulat Malassezia.
Ia juga mengundang kulit kepala berminyak, gatal, kemerahan selain kelemumur akibat kelembapan berlebihan.
“Perkara paling penting ialah memastikan rambut benar-benar kering sebelum memakai anak tudung atau tudung.
“Langkah asas ini dapat menjaga kesihatan kulit kepala dan mengurangkan risiko bau,” katanya.
CUCI RAMBUT
Selain itu, kesilapan yang kerap dilakukan oleh wanita ialah jarang mencuci rambut.
Ramai beranggapan mencuci rambut terlalu kerap tidak elok, namun bagi wanita berhijab di Malaysia, kenyataannya tidak begitu.
Iklim tropika yang panas dan lembap sepanjang tahun menyebabkan kulit kepala lebih mudah berpeluh dan menghasilkan minyak berlebihan.
“Sebenarnya, mencuci rambut setiap hari atau selang sehari adalah lebih baik, terutama jika mudah berpeluh atau aktif,” katanya.
Selain itu, penggunaan syampu tidak sesuai turut menjadi salah satu penyebab bau dan masalah kulit kepala.
Wanita yang mempunyai masalah kulit rambut perlu memakai syampu yang disesuaikan dengan jenis kulit kepala.
Contohnya, jika kulit kepala berminyak, pilih syampu dengan formula yang khusus untuk mengawal minyak.
Manakala, wanita yang kerap bersukan, banyak berpeluh atau kerap terdedah kepada matahari disarankan mencuci rambut setiap hari bagi mengelakkan peluh terkumpul.
Seterusnya, penggunaan anak tudung dan tudung yang sama secara berulang tanpa dicuci juga akan memerangkap minyak, peluh dan kotoran menyebabkan rambut berbau walaupun rambut dalam keadaan bersih.
TANDA BAU KEPAM SERIUS
Apabila tidak menjaga rambut dan kebersihan diri dengan betul, bau yang dikeluarkan kadangkala boleh bersifat tidak normal.
Menurut Dr. Deena, bau kepam dianggap tidak normal apabila simptom lain seperti gatal keterlaluan, kemerahan, kelemumur teruk atau kulit kepala terlalu berminyak.
Dalam kes tertentu, kulit kepala boleh luka akibat kerap menggaru dengan kuat disebabkan kegatalan sehingga luka dan berdarah.
Jerawat kulit kepala juga boleh muncul terutama pada individu yang bersukan atau sering berpeluh tetapi tidak mencuci rambut dengan betul.
“Kebanyakan individu tidak menyedari bau rambut sendiri kerana tiada kesedaran tentang bau badan. Biasanya orang sekeliling yang akan menegur dahulu,” katanya.
Namun, masalah bau kepam boleh dirawat dan dicegah sepenuhnya dengan rutin yang betul.
Katanya, pastikan rambut dikeringkan sepenuhnya sebelum memakai tudung, membasuh anak tudung dengan lebih kerap dan memilih syampu yang tepat, terutama bagi yang mempunyai kulit kepala berminyak atau mudah berpeluh.
Berbekalkan disiplin dan penjagaan yang konsisten, masalah bau kepam bukan sahaja boleh diatasi, malah kesihatan kulit kepala juga akan bertambah baik.